Hanya lapan pemancing dibenar dalam satu bot
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan jumlah pemancing dengan membenarkan hanya lapan orang dalam sebuah bot untuk turun ke laut bagi mencandat sotong berbanding 15 orang sebelum ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah itu bergantung kepada saiz bot bagi menjaga jarak sosial antara satu sama lain serta keselamatan pemancing.
Selain memastikan semua pemancing mematuhi penjarakkan sosial ketika aktiviti mencandat, katanya, pihak terlibat juga diminta menyediakan jaket keselamatan.
"Jadi, bagi memastikan keselamatan terjamin, kita hadkan kepada lapan orang sahaja bergantung kepada saiz bot yang digunakan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) di Kampung Paya Keladi di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong bot terbalik dibadai ribut berikutan ombak besar di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan, kelmarin yang mengakibatkan lima pemancing lemas, tiga hilang manakala 12 lagi selamat.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, pengusaha bot juga diminta memantau keadaan cuaca sebelum membawa pemancing ke laut untuk aktiviti mencandat sotong.
"Kerajaan juga minta agensi penguat kuasa melakukan pemantauan bagi memastikan pengusaha bot dan pemancing mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!