Tiada petunjuk baharu dikesan

Muhd Nur Syam Asmawie memantau peta lokasi operasi SAR yang dijalankan dalam usaha mencari tiga lagi mangsa insiden bot terbalik dibadai ribut di perairan Kemasin.
Muhd Nur Syam Asmawie memantau peta lokasi operasi SAR yang dijalankan dalam usaha mencari tiga lagi mangsa insiden bot terbalik dibadai ribut di perairan Kemasin.
A
A
A

BACHOK - Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa insiden bot pemancing yang masih hilang selepas bot dinaiki mereka dibadai ribut di perairan Kemasin di sini berakhir tanpa sebarang petunjuk baharu.

Mereka yang masih hilang ialah pemancing dari Pasir Mas, Harun Daud, 57; anak saudara tekong bot, Arman Ismailm 43, dan awak- awak, Che Wadi Bakar, 40-an.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, operasi yang bermula pada jam 6 pagi itu ditamatkan pada jam 6 petang tadi.

Katanya, kawasan pencarian hari ini difokuskan pada 351.6 radius batu nautika persegi dari tempat kejadian berbanding 162 batu nautika persegi.

“Kaedah yang digunakan dalam operasi SAR ini adalah secara ulang-alik bagi pencarian dalam kawasan yang besar.

“Cuaca pada operasi hari ini adalah baik, namun anggota SAR berdepan cabaran kerana keluasan kawasan selain belum menemui apa-apa petunjuk baharu sama ada barangan seperti baju, seluar atau apa-apa yang boleh dikaitkan dengan tiga mangsa yang masih hilang,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Pemasaran Ikan Kemasin di sini.

Beliau berkata, walaupun operasi SAR ditamatkan, pihak APMM tetap berada di tengah-tengah lautan dan meneruskan pencarian di permukaan dalam kawasan yang ditetapkan.

“Operasi yang dijalankan bermula jam 6 pagi digerakkan dengan aset maksimum melibatkan lapan bot dan pesawat udara bersama kekuatan 81 pegawai serta anggota.

Artikel Berkaitan:

“Helikopter digunakan untuk mencari mangsa di kawasan yang lebih luas dan kami juga menggunakan bantuan daripada nelayan-nelayan, pemancing-pemancing di perairan Kelantan dan Thailand,” katanya.

Tambahnya, pelbagai kaedah operasi SAR digunakan bagi memastikan mangsa-mangsa dapat cepat ditemukan.

“Pihak kami juga memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand dan juga persatuan-persatuan nelayan dari negara Thailand,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!