Pekerja TNB cedera dikasari pengguna
DUNGUN - Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu cedera ringan setelah dikasari seorang individu tidak dikenali di Seberang Pintasan di sini pada kira-kira 11.30 pagi tadi.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Retail TNB Terengganu, Mohd Nazri Puteh berkata, insiden itu adalah yang pertama berlaku di negeri itu setakat ini.
"Mangsa, Anuar Rani yang bekerja sebagai Penyelia Pembaca Jangka TNB Terengganu dikatakan telah pergi ke sebuah rumah untuk mengambil bacaan sebelum tiba-tiba didatangi seorang pengguna yang bertanyakan mengenai bil elektrik yang tinggi.
"Mangsa telah memberi penerangan mengenai kenaikan bil elektrik itu sewajarnya, namun lelaki tersebut enggan menerima penerangan itu dan telah menolak mangsa sehingga terjatuh dan cedera.
"Lelaki itu dikatakan telah mencapai sebatang kayu untuk terus memukul mangsa namun kejadian tersebut berjaya dihalang oleh beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian," katanya kepada Bernama hari ini.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Dungun kerana mengalami luka di lutut dan sakit-sakit di bahagian bahu serta telah membuat laporan polis.
Sehubungan itu, Mohd Nazri menasihatkan pengguna TNB Terengganu agar tidak emosi dan bertindak secara melulu sehingga menyebabkan tindakan undang-undang terpaksa diambil bagi melindungi keselamatan pekerjanya.
"Saya sarankan agar pengguna yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai bil elektrik dan sebarang isu berkaitan agar mereka datang sendiri ke kedai-kedai tenaga yang berhampiran serta menghubungi TNB Careline di talian 15454 kerana kakitangan TNB sedia membantu pengguna," katanya.
"Janganlah bertindak keras terhadap kakitangan TNB kerana ia adalah satu perbuatan jenayah kerana mendatangkan kecederaan," katanya yang kesal dengan kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!