Rakyat sudah bosan sandiwara Tun M, Anwar
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Rakyat Malaysia kini sudah bosan dengan gelagat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah kedua-dua pemimpin itu dilihat tamak serta penuh sandiwara untuk berebut menjadi calon jawatan Perdana Menteri bagi pembangkang.
Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sengketa dalam kalangan pimpinan pembangkang masih belum reda, sedangkan rakyat Malaysia hanya mahu tahu sama ada pembangkang mempunyai bilangan kerusi mencukupi atau tidak untuk menuntut jawatan tersebut.
Jika tidak, katanya, pembangkang sesungguhnya membuang masa dan sepatutnya memberi tumpuan pada tugas masing-masing selaku wakil pembangkang.
"Rakyat cukup bosan dengan aksi dan gelagat mereka yang tamak dan penuh sandiwara itu. Tempoh Parlimen ke-14 ini cuma tamat pada tahun 2023.
"Dr Mahathir menyuarakan secara terbuka bahawa Anwar tidak popular dalam kalangan rakyat berketurunan Melayu sedangkan sokongan kaum ini penting bagi mana-mana parti untuk menang dalam pilihan raya.
"Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah parti berbilang kaum, sedangkan yang diperlukan adalah seorang pemimpin Melayu. Sekali lagi Tun mendedahkan bahawa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana tidak disokong orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
ARTIKEL BERKAITAN - Tun M dedah sebab Anwar tak layak jadi calon PM
Menurut Roslan, walaupun Dr Mahathir berjanji untuk menjadi Perdana Menteri semula bagi tempoh enam bulan, namun Anwar tetap bertegas mahu dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.
Menurutnya, ia jelas seperti dikatakan Dr Mahathir bahawa Anwar langsung tidak mahukan beliau maka sukar untuk mereka bekerjasama.
"Nampaknya tidak reda-reda lagi sengketa dalam kalangan pimpinan pembangkang ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!