Kewibawaan Sultan Muhammad V buka ruang Malaysia terus disanjung
KUALA LUMPUR - Kewibawaan Sultan Muhammad V sebagai pemimpin tertinggi negara membuka ruang untuk Malaysia terus disanjungi di persada antarabangsa, sekali gus memperkukuhkan hubungan diplomasi dengan negara luar.
Ia dizahirkan apabila baginda menerima kunjungan hormat pertama daripada Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena di Istana Negara pada 16 Disember 2016, hanya tiga hari selepas baginda melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Antara pemimpin lain yang pernah melakukan kunjungan hormat ke atas baginda ialah Perdana Menteri Laos, Dr Thongloun Sisoulith dan Presiden Singapura, Halimah Yacob.
Sultan Muhammad V turut berkenan meraikan pemimpin luar ke Malaysia seperti bekas Presiden Perancis, Francois Hollande pada majlis santapan di Istana Negara pada 28 Mac 2017, yang mana lawatan itu tepat pada masanya kerana ia bersempena ulang tahun ke-60 jalinan hubungan diplomatik Malaysia dan Perancis.
Pada majlis santapan itu, Sultan Muhammad V menyampaikan titah menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Republik Perancis kerana membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia dalam memperkasakan sinergi ekonomi di Perancis.
Ketika kedatangan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud pada 26 Februari 2017 atas jemputan Sultan Muhammad V, Seri Paduka bertitah menggesa Malaysia dan Arab Saudi, selaku anggota aktif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bekerjasama dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam.
Dalam mengalu-alukan kedatangan Penjaga Dua Masjid Suci itu dan rombongan baginda ke Malaysia, Sultan Muhammad V mengambil perhatian bahawa Kuala Lumpur dan Riyadh berkongsi pendirian yang sama berhubung keperluan untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang menjejaskan ummah.
Pada 16 Oktober 2017, baginda meraikan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani pada Majlis Santapan Negara di Istana Negara, ketika Sheikh Tamim melakukan lawatan dua hari ke Malaysia.
Selain itu, Malaysia tidak ketinggalan menerima kunjungan keluarga diraja lain seperti Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa serta pewaris takhta Britain Putera Charles dan isteri Camilla Parker Bowles selain Putera Mahkota Jepun Putera Mahkota Naruhito.
Dalam tempoh pemerintahan baginda, Sultan Muhammad V turut melakukan lawatan ke luar negara termasuk berangkat ke majlis perasmian bangunan baharu Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di Oxford yang dirasmikan oleh Putera Charles yang bergelar Prince of Wales dan dihadiri oleh kerabat diraja dan orang kenamaan asing pada 16 Mei 2017.
Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V yang merupakan bekas pelajar OCIS disambut oleh pengerusi bersama lembaga pemegang amanah pusat tersebut, Putera Turki Al-Faisal, yang juga Pengarah Penyelidikan dan Pengajian Islam Raja Faisal di Riyadh, Arab Saudi dan pengarah pusat itu, Dr Farhan Nizami. Selain itu, baginda serta beberapa Raja-Raja Melayu berangkat ke Majlis Santapan Diraja di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan pada 6 Oktober 2017 sempena sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
Pada 1 Mac 2018, Sultan Muhammad V dianugerahkan Felo Kehormat St Cross College of Oxford, United Kingdom dan penganugerahan itu meletakkan kedudukan baginda dalam rangkaian antarabangsa 14 Felo Kehormat dan Domus St Cross College.
Baginda mendapat pendidikan di Oakham School, Rutland di England sehingga 1989 dan kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Diplomatik di St Cross College di Oxford dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.
Sultan Muhammad V menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari 2019. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!