PRK Chini: Jangan keluar mengundi di saat akhir

PRK DUN Chini
PRK DUN Chini
A
A
A

PEKAN - Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu ini dinasihatkan keluar mengundi mengikut 'masa keluar mengundi yang digalakkan' dan tidak melakukannya pada saat-saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari jam 8 pagi hingga jam 5.30 petang.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata, SPR telah meletakkan maklumat 'masa keluar mengundi yang digalakkan' bagi setiap pengundi pada Kad Pengundi yang telah dihantar kepada pengundi.

“Cadangan masa ini bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan jarakkan sosial dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

"Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

“Semua pengundi dan pihak yang terlibat dalam PRK DUN Chini juga diingatkan agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Beliau berkata, seramai 20,816 orang daripada 20,972 orang pengundi biasa layak mengundi Sabtu ini manakala 156 orang lagi telah mengundi secara pos.

Azmi berkata, bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Artikel Berkaitan:

“Semakan boleh dibuat melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak, hotline SPR di talian 03-88927018 atau SMS ke 15888 (taip SPR SEMAK NO. KAD PENGENALAN).

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran supaya mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Beliau berkata, pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!