KEPALA BATAS - Seorang wanita nyaris menjadi mangsa rogol jirannya yang sanggup memanjat bumbung sebelum menceroboh masuk ke dalam rumah wanita berkenaan. Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di sebuah kampung di sini, mangsa yang berusia 25 tahun tinggal di rumah sendirian selepas suaminya keluar bekerja. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa kemudian terdengar bunyi orang berjalan di atas bumbung dan ketika mahu memeriksanya tiba-tiba suspek berada di hadapan pintu biliknya. "Suspek terus menarik tangan mangsa dan menolak ke dalam bilik sebelum memeluk mangsa. "Mangsa cuba melepaskan diri dengan memukul kepala suspek menggunakan botol air namun tidak berjaya malah suspek bertindak mengoyak baju mangsa dan cuba merogolnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini. Noorzainya berkata, mangsa yang menjerit ketakutan bernasib baik apabila suaminya yang berusia 32 tahun pulang ke rumah dan mendengar jeritan mangsa. Curiga dengan keadaan itu, suami mangsa masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur dan bertembung dengan suspek yang ketika itu sedang keluar dari bilik. "Suami mangsa cuba menangkap suspek tetapi lelaki berkenaan yang memegang sebatang kayu memukul kepalanya sehingga berdarah dan lebam. "Suspek kemudiannya melarikan diri apabila terlepas dari pegangan suami mangsa," katanya. Noorzainya berkata, hasil siasatan di lokasi mendapati kediaman berkenaan ialah sebuah rumah kampung yang tidak berpagar dan hanya dipisahkan oleh dinding bahagian tengah dengan kediaman suspek. Bertindak atas laporan, Noorzainy berkata, polis berjaya mengesan suspek di berhampiran lokasi kejadian dan merampas kayu yang digunakan ketika bergelut dengan suami mangsa. Beliau berkata, ujian saringan awal urian pada suspek berumur 21 tahun itu didapati negatif dadah. Katanya, suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 455 dan 354 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan mencabul mangsa.