Lelaki cuba baiki kabel elektrik terputus ditemui lemas

Mangsa, Awangku Salam, 38, ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika membaiki kabel yang terputus berhampiran sungai itu. - Foto 123RF
Mangsa, Awangku Salam, 38, ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika membaiki kabel yang terputus berhampiran sungai itu. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang terjatuh ke dalam sungai ketika cuba membaiki kabel elektrik yang terputus berhampiran Sungai Kampung Mondikot, Papar, ditemukan lemas petang semalam.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan, mangsa, Awangku Salam, 38, ditemukan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dan orang awam ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 6.20 petang kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.

"Kita menerima panggilan kecemasan membabitkan mangsa yang dikhuatiri lemas di sungai berkenaan pada jam 2.44 petang semalam. Pasukan bomba diketuai oleh Ketua BBP Papar Roslie Jun bersama enam anggota digerakkan ke tempat kejadian dengan jarak sejauh 25 kilometer dari BBP Papar.

"Menurut saksi, mangsa cuba membaiki kabel yang terputus berhampiran sungai itu namun mangsa terjatuh ke dalam sungai berkenaan," menurut kenyataan itu.

Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 9.20 malam dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!