'Karya ini untuk wira negara'

Muhammad Suhaimi menghasilkan karya dua pemimpin hebat negara iaitu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Muhammad Suhaimi menghasilkan karya dua pemimpin hebat negara iaitu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
A
A
A

SHAH ALAM - Karya ini ditujukan khusus buat mereka yang berjasa kepada negara terutama dalam mengekang wabak koronavirus (Covid-19) selain tanda terima kasih daripada rakyat Malaysia kepada petugas barisan hadapan, kata seorang pelukis mural, Muhammad Suhaimi Ali, 27.

Muhammad Suhaimi atau nama samarannya, Mieyali tampil dengan menghasilkan seni mural pada dinding sebuah bangunan di Seksyen U12, Desa Alam, Shah Alam, Selangor, sejurus melihat perkembangan positif wabak Covid-19 yang melanda negara ini.

Selain di Seksyen U12, anak bongsu daripada tujuh beradik itu turut melakar hasil seninya di Stadium Shah Alam dan sekitar Bandar Klang.

Bertitik tolak daripada rasa berterima kasih terhadap petugas barisan hadapan iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan berbangga memiliki ketua pemimpin berjiwa rakyat seperti Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hasil seni itu siap sepenuhnya pada 29 Jun dengan mengambil masa selama dua hari.

Muhammad Suhaimi (kiri) bersama dua rakannya, Firdaus Nordin (tengah) dan Abdul Hadi Ramli menyiapkan mural di Seksyen U12, Desa Alam, Shah Alam, Selangor.
Muhammad Suhaimi (kiri) bersama dua rakannya, Firdaus Nordin (tengah) dan Abdul Hadi Ramli menyiapkan mural di Seksyen U12, Desa Alam, Shah Alam, Selangor.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam dunia mural, Muhammad Suhaimi berkata, minat dan kreativiti menjadi sebab mengapa beliau menjadikan kerjaya itu sebagai sumber mata pencarian.

Menurut anak jati dari bandar Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu ini, dari segi masa, tempoh sesebuah lukisan disiapkan bergantung kepada tema, warna dan keluasan kaki persegi.

"Setiap mural yang dihasilkan haruslah ada tema supaya ada cerita di sebalik mural tu sendiri. Saya mengaku lukis potret bukanlah benda yang senang.

Artikel Berkaitan:

"Pada awalnya memang selalu gagal tapi jangan mudah mengalah, belajar dan terus belajar. Insya-ALLAH kita akan dapat.

"Kuncinya, jangan mengalah, teruskan mencuba dan bila dapat tugasan melukis potret wajah lelaki atau wanita, ia lebih mudah," katanya kepada Sinar Harian.

Firdaus melukis mural Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Firdaus melukis mural Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhammad Suhaimi berkata, secara keseluruhan beliau menghabiskan RM500 untuk menyiapkan mural itu termasuk membeli cat dan peralatan.

"Saya menggunakan cat khas untuk 'outdoor' yang berkualiti dan mampu bertahan selama lima tahun.

"Dari segi penggunaan peralatan pula, saya menggunakan lima berus dalam penghasilan mural ini.

"Kebiasaannya antara kekangan yang dihadapi semasa melukis adalah faktor cuaca terutama hujan, bagaimanapun semasa menyiapkan mural ini, semua berjalan lancar," katanya.

Alumni lepasan Ijazah Sarjan Muda Seni Halus Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu juga melahirkan rasa gembira kerana mural tersebut terus dihargai oleh rakyat Malaysia.

Turut kelihatan mural Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hasil karya Abdul Hadi Ramli (kanan).
Turut kelihatan mural Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hasil karya Abdul Hadi Ramli (kanan).

"Saya bersyukur dan gembira kerana lukisan ini dihargai. Apa yang saya rancang menjadi, diterima baik oleh masyarakat malah menarik perhatian orang ramai untuk merakam gambar di sini.

"Saya juga bangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi dari tim Art battalion mula menceburi bidang lukisan mural sejak 2016.

Bagaimanapun katanya, beliau kadangkala bergerak secara solo bagi memenuhi permintaan pelanggan, namun jika menerima projek skala besar, beliau akan bersama rakan-rakannya menghasilkan mural berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!