Penuntut tahun akhir Sarjana Muda dijel, sebat
KUALA TERENGGANU- Seorang penuntut tahun akhir Sarjana Muda di sebuah universiti, di sini dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.
Keputusan dibuat selepas tertuduh, Muhammad Izzat Sharifuddin, 24, dari Kota Bharu, Kelantan, mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak timbalan pendakwa raya daripada mengedar kepada memiliki dadah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga penuntut tahun akhir Jurusan Rekabentuk Perindustrian itu didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 527 gram di sebuah rumah di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus, jam 10.20 pagi, pada 11 Disember 2017.
Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.
Sebelum ini, tertuduh berdepan pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!