Covid-19: Pematuhan SOP di Kelantan menurun

Hasanuddin Hassan
Hasanuddin Hassan
A
A
A

KOTA BHARU - Tahap pematuhan rakyat Kelantan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) di negeri itu menurun kepada 90 peratus berbanding 95 peratus sebelum ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kawasan luar bandar dikesan menjadi antara punca peratusan menurun berikutan ramai yang tidak mematuhi SOP terutama berkaitan penjarakan sosial.

"Contohnya, kalau kita ke pasar raya, SOP masih lagi diikuti namun kalau kita pergi jauh sedikit seperti kawasan kampung terutama di warung, kita boleh tengok ramai yang tidak ikut (jarakkan sosial).

"Saya percaya mereka sedar mengenai SOP ditetapkan tapi tiada sikap ambil peduli. Mereka perlu ingat pasukan keselamatan masih lagi menjalankan Op Covid-19 dan mana-mana pihak yang ingkar boleh dikenakan tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Menurut beliau, semalam sahaja polis menahan tujuh orang kerana melanggar SOP Covid-19.

Kelantan merekodkan sebanyak 514 kes membabitkan 950 tangkapan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 1 Julai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!