Putri Safrica diminta tampil bantu sijil kelahiran anak
KUALA SELANGOR - Seorang wanita dipercayai warga Indonesia diminta tampil membantu urusan pendaftaran sijil kelahiran bayinya berusia 48 hari yang masih tertangguh.
Wanita dikenali sebagai Putri Safrica berusia lingkungan 20-an menghilangkan diri sejak 13 Jun lalu selepas menyerahkan bayi perempuannya kepada Zarina Rashid, 47, kerana tidak mampu menanggung kos hidup yang tinggi di negara ini.
Zarina berkata, Putri Safrica disyaki menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Bukit Kuching selepas memberi alasan ingin menyelesaikan urusan tunggakan bayaran sewa rumah di Alam Jaya.
Menurut Zarina, wanita terbabit sebelum ini berjanji untuk menyerahkan hak jagaan anak angkat kepadanya termasuk membantu urusan pendaftaran sijil kelahiran.
"Saya juga menanggung sepenuhnya kos rawatan Putri Safrica yang bersalin di Hospital Shah Alam pada 13 Mei lalu selain menjaga Putri Safrica sepanjang tempoh berpantang selama 30 hari di rumah saya," katanya.
Zarina memberitahu, beliau bercadang membuat laporan polis di Balai Polis Jeram hari ini berikutan kegagalan menemui Putri Safrica.
"Laporan polis dibuat bertujuan menyatakan saya ingin mengambil bayi ini untuk dijaga dan didaftarkan sijil kelahirannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!