Bekalan makanan, keperluan asas mencukupi: Ismail Sabri
KUALA LUMPUR - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati orang ramai tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan asas kerana ia dijamin mencukupi.
Menurutnya, ini berdasarkan pemantauan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di peringkat pengeluar makanan dan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 815 premis perniagaan termasuk peruncit (612), pemborong (173) dan pengilang (30).
"Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang memasuki hari ke-22 hari ini.
Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan 1,885 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,870 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 15 lagi premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.
"Sementara itu, seramai 71 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, 29 individu direman manakala 42 lagi dikompaun.
"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP ialah aktiviti karaoke atau pusat hiburan (12), aktiviti pub atau kelab malam (empat), aktiviti refleksologi atau urut (tujuh), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarak sosial (34) dan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) (14)," katanya.
Ismail Sabri berkata, polis membuat 66 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 41,775 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong tikus dan hasilnya 16 warga asing ditahan atas kesalahan Imigresen.
Bagi pemeriksaan di 53 tapak binaan di seluruh negara oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), 38 tapak binaan didapati patuh SOP ditetapkan, lima tidak patuh dan diberi amaran manakala 10 tapak binaan tidak beroperasi.
Beliau berkata, 724 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Vietnam, Indonesia, Singapura, Qatar, UAE, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Brunei.
Daripada jumlah itu, 723 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala seorang individu dibawa ke hospital.
Ismail Sabri turut meminta 620 orang yang dikenakan kuarantin rumah dan masih gagal menjalani ujian saringan kali kedua Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin untuk berbuat demikian sebelum dikenakan tindakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!