Pentas Speedy Tigers pamer taring sebenar
SUDAH tiba masanya empat penjaga gol skuad hoki lelaki kebangsaan mencipta legasi tersendiri apabila selama ini berada di bawah bayangan S Kumar.
Penolong Jurulatih Speedy Tigers, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, Mohammad Hairi Abd Rahman, Adrian Andy Albert, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri dan Muhamad Zaimi Mat Deris antara 31 pemain yang sedang mengikuti latihan skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil perlu menunjukkan taring masing-masing.
“Kumar memang antara penjaga gol yang terbaik dunia tetapi saya mahu penjaga-penjaga gol ini sedar, inilah masanya untuk mereka mencipta legasi.
“Selama ini Kumar menolong mereka. Ini masa mereka membuktikan kemampuan masing-masing, bukannya berada di bawah bayangan nama Kumar,” kata Mohd Nasihin yang juga bekas penjaga gol kebangsaan.
Kumar, 40, yang membuat 321 penampilan untuk Malaysia sejak 1999 mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa pada 20 Februari lalu selepas skuad hoki negara gagal ke Sukan Olimpik Tokyo.
Beliau kemudian dilantik sebagai jurulatih penjaga gol skuad remaja negara.
Sementara itu, Mohd Nasihin berkata, penyerang negara, Muhammad Firhan Ashari yang kembali menyertai latihan selepas hampir setahun tidak 'memegang' kayu hoki kerana kecederaan lutut kiri, turut perlu membuktikan keupayaannya untuk meraih tempat dalam pasukan.
“Dia sangat bermotivasi untuk kembali kepada pasukan selepas terlepas banyak kejohanan besar. Jadi ini masanya untuk membuktikan keupayaannya bagi mendapat balik tempat di dalam skuad kebangsaan, dengan ketiadaan banyak pemain berpengalaman,” katanya.
Muhammad Firhan yang kembali buat kali pertama selepas hampir setahun, mengakui agak kekok pada hari pertama latihan kelmarin tetapi yakin mampu menyesuaikan diri dengan segera.
“Saya kena berhati-hati kerana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hanya sempat membuat latihan ringan bersama pasukan. Walaupun beberapa pemain senior tiada dalam pasukan, jadi saya kena bimbing pemain muda mendapat keserasian lebih baik,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!