Wujudkan SOP penerokaan tanah Tasik Chini
PEKAN - Calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin menggesa pihak berwajib mengawal penerokaan tanah di sekitar tebing Tasik Chini di sini yang dilihat tidak terkawal.
Beliau berkata, penerokaan tanah tersebut sama ada berlesen atau tidak perlu dipantau dan diberikan perhatian serius kerana ia menyebabkan mendapan tebing yang mencemarkan tasik.
Menurutnya, pelombong dan peneroka tanah bukan sahaja perlu diberikan prosedur operasi standard (SOP), malah perlu dipantau gerak kerja mereka agar kadar pematuhan berada di tahap yang baik.
"Kalau kita lihat pencemaran air di Tasik Chini sekarang sangat menyedihkan. Berbeza dengan dahulu, warna air tasik pun sudah tak jernih sekarang.
"Perkara paling jelas sekarang ialah depan mata kita ada penerokaan tanah yang terlalu dekat dengan tebing. Saya menggesa pihak berwajib untuk ambil serius hal ini. Tentu ada garis panduan yang perlu dipatuhi apabila pihak berwajib membenarkan sesuatu aktiviti penerokaan tanah," katanya ketika ditemui pemberita di Tasik Chini di sini hari ini.
Tengku Zainul berkata, beliau turut dukacita apabila dimaklumkan oleh masyarakat orang asli Tanjung Puput di sini bahawa pelbagai spesies ikan dan tumbuhan di Tasik Chini sudah pupus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!