Hutang peneroka: Najib tempelak Kerajaan PH gagal tunai janji

Paparan skrin dari Facebook Najib.
Paparan skrin dari Facebook Najib.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak Kerajaan PH yang gagal menunaikan janji peneroka Felda untuk menghapuskan hutang mereka.

Jelas Najib, sebelum PRU14, beliau telah dituduh sebagai pemimpin yang zalim kerana tidak membela nasib peneroka.

"Mana perginya muka penuh emosi pemimpin Anak (Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman) yang kata dia bukan berjuang untuk jawatan sambil tangis-tangisan dalam klip video tular itu?

"Sebelum PRU14, mereka tuduh Najib zalim kepada peneroka, tak jaga peneroka.

"Selepas mereka menang dan gagal untuk jaga peneroka, mereka tuduh Najib terlalu banyak memberi pinjaman mudah kepada peneroka dan terlalu kerap memberi 'rasuah' kepada peneroka," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatakan kerajaan tidak akan menghapuskan semua hutang peneroka Felda.

Menurutnya, hutang tersebut hanya akan dihapuskan oleh agensi berkenaan berdasarkan perkara tertentu seperti dalam konteks ‘hutang tidak wajar’.

Bagaimanapun, Najib berkata Azmin begitu berani membuat kenyataan sedemikian ketika para peneroka kini hidup susah kerana harga komoditi itu rendah.

Artikel Berkaitan:

"Minggu lepas, wartawan tanya Menteri PH apa terjadi dengan janji manifesto serta janji-janji yang ditabur semasa berkempen di kawasan Felda sebelum PRU14 lalu untuk menghapuskan hutang peneroka.

"Menteri PH menjawab dengan memetik prinsip dan teras dalam Islam bahawa hutang wajib dibayar dan pinjaman-pinjaman itu merupakan persetujuan antara kedua-dua belah pihak iaitu peminjam serta orang yang meminjam.

"Selamba betul dia jawab pada masa peneroka tengah susah," katanya.

Najib mengakhiri tulisannya dengan mengatakan: #ManaTualaGoodMorningItu Nak lap tangisan ke lap apa?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!