MKini Dotcom, KP gagal ketepi kebenaran diperoleh AG
PUTRAJAYA - Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Ketua Pengarang Malaysiakini gagal mengenepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.
Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf sebulat suara menolak permohonan tersebut dan menetapkan 13 Julai untuk mendengar merit bagi prosiding menghina mahkamah itu.
Dalam penghakimannya, Rohana berkata, melihat kepada sifat komen yang didakwa mempersoalkan badan kehakiman secara keseluruhan, dan turut membabitkan Ketua Hakim Negara, mahkamah berpendapat bahawa Mahkamah Persekutuan adalah forum yang tepat untuk memulakan prosiding komital itu.
Beliau berkata, mahkamah juga berpendapat bahawa berdasarkan Seksyen 114 Akta Keterangan 1950, pemohon (Mkini Dotcom dan Ketua Pengarang) dianggap telah menyiarkan komen itu.
Katanya, satu kes prima facie telah dibuktikan kerana perkataan terbabit adalah bersifat menghina dan ia disiarkan Malaysiakini dalam portal beritanya.
Rohana berkata, mahkamah juga bersetuju bahawa kegagalan AG mengeluarkan notis tunjuk sebab rasmi kepada Mkini Dotcom dan ketua pengarangnya mengikut Perintah 52 Peraturan 2B Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012 tidak menjejaskan atau memprejudis para pemohon.
“Sementara menunggu penyelesaian akhir isu itu, kami dengan ini mengarahkan kedua-dua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes ini bagi mengelak sub judice,” katanya.
Turut bersidang Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.
Pada 17 Jun, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan sebelah pihak Tan Sri Idrus Harun untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom, syarikat yang mengendali portal berita Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan.
Peguam Negara telah memohon kebenaran untuk memulakan prosiding itu terhadap Mkini Dotcom dan Gan berkaitan komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1" yang didakwa bersifat menghina.
Terdahulu, pada prosiding hari ini, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Mkini Dotcom dan Steven Gan, berhujah bahawa permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi dan bukan terus ke Mahkamah Persekutuan kerana tindakan tersebut telah menafikan hak anak guamnya untuk merayu.
Beliau berkata, tidak ada syarat dalam undang-undang untuk portal berita dalam talian agar menyederhanakan komen sebelum ia disiarkan dan portal berita tidak boleh diharapkan untuk menyederhanakan semua kandungan yang disiarkan pihak ketiga.
Malik juga berhujah bahawa AG tidak menunjukkan bahawa para pemohon atau sesiapa antara mereka adalah terlibat secara langsung dalam menyiarkan komen terbabit.
Beliau berkata, komen itu telah dikeluarkan dalam tempoh 12 minit selepas Pengarah Eksekutif syarikat tersebut, RK Anand telah dimaklumkan polis mengenainya pada 12 Jun.
Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang hadir bagi pihak AG pula berhujah bahawa sebab kes itu difailkan di Mahkamah Persekutuan adalah kerana sifat komen yang dibuat terhadap badan kehakiman secara keseluruhan dan juga komen yang merujuk kepada jawatan tertinggi di Istana Kehakiman.
Beliau juga berkata, notis tunjuk sebab tidak boleh dijadikan syarat untuk memulakan prosiding menghina mahkamah oleh AG dalam kapasitinya sebagai pelindung kepentingan awam.
Katanya, para pemohon telah memudah cara dan menyediakan platform untuk orang ramai memberikan komen jadi mereka mempunyai kawalan yang mencukupi terhadap platform yang mereka sediakan kepada orang awam itu.
Suzana berkata, para pemohon sepatutnya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengeluarkan komen terbabit serta-merta dan bukan selepas dimaklumkan.
Beliau juga berkata, komen terbabit disiarkan pada 9 Jun dan hanya dikeluarkan pada 12 Jun.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!