MPM sokong Bersatu sertai Muafakat Nasional
KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendedahkan bahawa Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) bersetuju menyertai Muafakat Nasional pada mesyuarat membabitkan ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) semalam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad berkata, ia akan didaftarkan secara rasmi dan MN akan menerajui PN.
"Difahamkan Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional untuk secara rasminya terajui PN yang akan didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan PN.
"Kami bersama sekutu menyambut baik hasrat para pemimpin parti itu. Diharapkan dengan formaliti ini, kerajaan yang terbentuk sejak Mac lalu akan lebih stabil," katanya pada sidang media di Wisma MPM di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pertemuan ketua-ketua parti dalam PN bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, kerjasama antara parti-parti yang membentuk kerajaan PN bukan berbentuk sementara sebaliknya secara berterusan.
"PN perlu didaftar secara rasmi bukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semata-mata tetapi untuk memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.
"Kita menyokong hasrat itu (daftar secara sah dan guna satu logo). Ini bermakna ia akan menjadi dua blok di Malaysia. Satu blok memerintah dan satu lagi pembangkang. Kalau ia mewujudkan kestabilan kami amat menyokong," katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang tidak bersetuju sekiranya logo baharu PN digunakan pada PRU15, Hasan berkata, ia merupakan isu dalaman parti itu dan lebih baik parti itu yang menyelesaikannya.
"Jika diperhatikan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga ada pada mesyuarat semalam dan keputusan dicapai. Beliau merupakan wakil UMNO," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!