Jamin kualiti, keselamatan pertanian
PASIR GUDANG - Kira-kira RM10 juta diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menggalakkan program Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) bagi mendapatkan hasil pertanian yang berkualiti dan terjamin keselamatannya.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah itu lebih daripada RM2.5 juta yang diperuntukkan dalam RMK11 (2016-2020) melibatkan 2,215 petani di seluruh negara dengan keluasan tanah 10,000 hektar.
Menurutnya, usaha itu dilaksanakan melalui sistem IPM bagi melindungi hasil industri pertanian negara daripada serangga perosak dan pencemaran sisa racun.
“Ia akan dapat meningkatkan keyakinan negara-negara pengimport hasil pertanian di Malaysia yang terjamin kualiti dan keselamatannya. Sistem IPM akan terus dipromosi pelaksanaannya dalam kalangan pengusaha dan pengeluar bahan pertanian tempatan.
“Berdasarkan laporan Jabatan Pertanian pada tahun 2018 dan 2019, Malaysia menerima 800 notifikasi dari Singapura, Jepun, Jerman dan Taiwan setiap tahun berkaitan sisa residu racun perosak yang melebihi paras dibenarkan.
“Ia memberi gambaran negatif tentang jaminan keselamatan dan kualiti hasil pertanian Malaysia kepada negara pengimport dan pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Walkabout dan Perasmian Showroom IPM di Taman Pertanian Johor di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zainal Azman Abu Seman dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Mohd Nasir Waris.
Sementara itu, Ronald berkata, sistem IPM juga akan memastikan angka notifikasi produk pertanian Malaysia pada masa akan datang dapat dikurangkan, selain kualiti dan jaminan keselamatan untuk keperluan eksport ke pasaran antarabangsa ditingkatkan.
Menurutnya, pendekatan IPM secara tidak langsung dapat mengurangkan penggunaan racun kimia dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
“Antara lima amalan IPM yang digunakan di Malaysia secara komersial adalah perangkap berupa pelekat warna kuning dan biru untuk menarik serangga perosak.
“Racun perosak biologi dan repelan yang diekstrak daripada tanaman atau buah-buahan semula jadi, antaranya daun neem, bawang putih dan minyak kayu putih turut digunakan,” katanya.
Beliau berkata, ia termasuk penggunaan kulat metarhizium dan perangkap organik bagi kawalan kumbang tanduk untuk tanaman kelapa.
Begitu juga, katanya, penggunaan bakteria Bacillus thuringiensis bagi mengawal kupu-kupu Plutella xylostella di tanaman sayur daun seperti kobis.
“Penggunaan kulat Trichoderma sp dan bakteria Bacillus subtillis adalah untuk mengawal penyakit akar tanaman buah-bua-han dan sayuran. IPM juga menggunakan serangga Coenosia exigua sebagai agen kawalan biologi bagi mengawal ulat pelombong daun pada tanaman sayuran,” katanya.
Selain itu, Ronald berkata, kesan yang paling utama disasarkan kerajaan menerusi sistem IPM adalah rakyat dapat menikmati hasil pertanian di pasaran tempatan yang selamat untuk dimakan dan berkualiti kerana bebas daripada pencemaran racun berbahaya.
Rugi RM10 bilion tanaman diserang perosak
Sejak lima tahun kebelakangan ini, tanaman di Malaysia diserang pelbagai jenis perosak invasif yang menyebabkan kerugian hampir RM10 bilion.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tiga perosak utama adalah kumbang merah palma pada tanaman kelapa, hawar bulir bakteria pada tanaman padi dan ulat ratus pada tanaman jagung.
“Perosak ini bukan sahaja menjejaskan hasil tanaman dan perdagangan, malah kerajaan telah membelanjakan lebih RM5 juta dalam tempoh tersebut untuk aktiviti kawalan dan pemusnahan perosak di seluruh Malaysia.
“Dalam suasana ekonomi dunia kini terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19), kita pastinya tidak mahu kerugian hasil pertanian disebabkan ketidak boleh pasaran atau kemusnahan hasil pertanian akibat serangan perosak memburukkan lagi keadaan,” katanya pada Program Walkabout dan Perasmian Showroom Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) di Taman Pertanian Johor di sini semalam.
Menurutnya, kementerian menerusi Jabatan Pertanian yang menjalankan fungsi sebagai Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan berusaha memastikan pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuhan menjadi keutamaan dalam memacu usaha ke arah pertanian mampan.
Sementara itu, beliau berkata, Taman Pertanian Johor menjadi rujukan usahawan tani, pengeksport, pelajar dan masyarakat kerana menjadi perintis sistem IPM sejak tahun 2019 di kawasan seluas 42 hektar dengan nilai RM100,000 yang melibatkan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.
Menurutnya, tujuan utama program tersebut adalah untuk hebahan kepada masyarakat tempatan dan luar negara mengenai kepentingan IPM dalam pengeluaran hasil pertanian yang selamat dimakan dan dapat meningkatkan keyakinan pengimport tentang kualiti produk pertanian Malaysia.
“Pengamalan IPM turut menyokong pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan menjadi syarat utama kelulusan mengeksport buah-buahan ke China, Jepun, Australia serta Amerika Syarikat,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!