Noh persoal tiada wakil PN dalam MTPNg Selangor
SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mendakwa wakil rakyat dari UMNO dan Pas tidak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Negeri Selangor, Rabu lalu.
Noh berkata, mesyuarat dipengerusikan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu seharusnya melibatkan wakil rakyat dari komponen Perikatan Nasional (PN) yang mewakili kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, MTPNg ditubuhkan kerajaan Persekutuan sebagai agensi pelaksana di negeri pembangkang bagi membolehkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau dari wakil parti kerajaan Persekutuan terlibat dalam pembangunan negeri.
"Amat luar biasa dan pelik apabila wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan ADUN PN Selangor tidak dijemput menghadiri mesyuarat tersebut sebaliknya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan pula dijemput hadir.
"Adakah Menteri Besar Selangor kini menyertai kerajaan PN? Atau adakah Datuk Seri Azmin menganggap beliau masih Menteri Besar Selangor dari PH?" soalnya menerusi status laman sosial Facebooknya, malam tadi.
Terdahulu, Azmin menerusi perkongsian di Twitternya pada Rabu lalu memaklumkan, mesyuarat itu merupakan platform yang penting untuk memperkukuhkan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dalam aspek pembangunan.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berharap supaya wakil Perikatan Nasional dari UMNO dan Pas dilibatkan dalam pembangunan negeri Selangor pada masa akan datang.
"Tentunya Muafakat Nasional boleh menyumbang untuk mengukuhkan PN di Selangor sebab jika Selangor menjadi milik PN ia tentunya adalah lebih baik untuk rakyat Selangor, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!