Guardiola puas tundukkan pasukan juara
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memuji persembahan para pemainnya yang berjaya menundukkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool 4-0 dalam aksi di Etihad awal pagi tadi.
Menurutnya, Liverpool datang ke Etihad untuk meneruskan momentum kemenangan, namun para pemainnya tidak memberikan ruang dan tampil agresif untuk memenangi perlawanan tersebut.
"Kami mengalahkan pasukan juara, sebuah pasukan yang luar biasa. Kami bermain dengan berani dan mereka juga sama dalam perlawanan ini.
"Saya suka dengan apa yang dipamerkan pemain saya. Kami bermain bola sepak dan cuba mengambil risiko menentang pasukan hebat yang bermain dengan konsep menekan lawan," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Liverpool bermula dengan baik apabila percubaan pemain sensasi mereka, Mohamed Salah terkena palang, namun segalanya berubah beberapa minit kemudian apabila City menguasai perlawanan.
Jaringan Kevin De Bruyne, Raheem Sterling, Phil Foden dan gol sendiri Alex Oxlade-Chamberlain 'merosakkan' seketika pesta juara EPL yang sedang dinikmati Liverpool ketika ini.
Dalam pada itu, Guardiola turut menafikan bahawa Liverpool tidak turun dengan prestasi terbaik mereka dalam perlawanan itu.
"Saya lihat mereka (Liverpool) ketika 'guard of honour' (majlis penghormatan) dan mereka amat fokus, mereka langsung tidak mengucapkan terima kasih.
"Mereka minum banyak bir minggu ini, tetapi mereka hadir ke sini tanpa bir dalam darah mereka. Sebab itu saya bagi penghargaan kepada pemain saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!