Cuaca sukar diramal, hati-hati semasa di laut: MetMalaysia

Antara laporan Sinar Harian berkaitan insiden bot karam di Kelantan.
Antara laporan Sinar Harian berkaitan insiden bot karam di Kelantan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tragedi bot terbalik Isnin lepas di Kelantan yang meragut sekurang-kurangnya enam nyawa (ada yang masih hilang) adalah peringatan tragik mengenai keperluan mengambil langkah penuh hati-hati apabila turun ke perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor.

Ramai nelayan berpengalaman di empat negeri itu menyetujuinya.

Ribut petir secara tiba-tiba yang membawa ombak besar pada jam 8.00 malam semasa kejadian, membadai bot yang membawa 20 orang yang berada di laut untuk memancing menyebabkan ia terbalik.

Dua belas daripada mereka diselamatkan, namun enam ditemukan lemas, dan dua masih hilang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, Monsun Barat Daya yang sinonim dengan musim panas kering, tidak seharusnya dipandang enteng oleh nelayan dan mereka yang berhasrat turun ke laut, kerana ribut petir boleh berlaku secara tiba-tiba pada bila-bila masa, yang menyebabkan angin kuat dan gelombang besar.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, ribut petir dan keadaan laut ini boleh menjadi amat berbahaya kepada semua bot.

“Kejadian ribut petir biasanya berlaku di sebelah petang atau malam disebabkan pergerakan awan dari darat ke laut, dan apabila terdapat pemusatan angin di Laut China Selatan,” katanya kepada Bernama.

“Kami sentiasa memantau cuaca serta gelombang ombak di laut dan mengeluarkan amaran apabila terdapat perubahan penting dalam corak cuaca,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jailan berkata, Isnin lepas, MetMalaysia mengeluarkan amaran pada pukul 5.55 petang mengenai ribut petir dan laut bergelora di perairan negra.

Enam yang mati lemas dalam kejadian Isnin lepas itu terdiri daripada Mohd Syahrizan Daud, 40an; Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19; Wan Aminudin Wan Hussin, 60an; seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50an; Ahmad Syafiq Che Alim, 30, dan Harun Daud, 57. Dua lagi yang masih hilang ialah Arman Ismail, 43; dan Che Wadi Bakar, 40an.

Beberapa nelayan pantai timur yang ditemui mengakui bahawa cuaca baik di laut, boleh berubah menjadi ribut petir secara tiba-tiba, menjadikan mereka terpaksa bergelut menyelamatkan diri.

Beberapa nelayan ini mendakwa ribut petir dan laut bergelora biasanya berlaku sebelum musim monsun tiba.

“Kami sedar bahawa ribut petir dan laut bergelora mula berlaku sekitar dua minggu lepas,” kata Idris Kancil, nelayan berumur 51 tahun yang ditemui di Jeti pendaratan Ikan di Kuala Kemasin, di Bachok,

Idris, yang telah turun ke laut sejak berumur 15 tahun lagi dan kini memiliki boat Kelas A berkata, ribut secara tiba-tiba boleh jadi berbahaya bukan sahaja kepada kaki pancing, malah ia juga berbahaya kepada nelayan berpengalaman.

“Nelayan berpengalaman seperti kami juga boleh terperangkap sekiranya kami tidak mengendahkan amaran cuaca yang dikeluakan oleh Jabatan Meteorologi,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Ismail Isa, 54, berkata, nelayan, menerusi pengalaman, memahami cuaca dengan baik.

"Biasanya kita akan tahu apabila ribut bakal melanda dengan melihat ke langit, keadaan angin dan matahari. Sukar untuk saya jelaskan tapi bagi yang sudah masak dengan keadaan di laut, kita boleh rasakan bila masanya laut akan bergelora dan angin menjadi kencang,” katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Nelayan Kuantan, Talib Husain, 62, katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu adalah kebiasaan yang berlaku pada pertengahan tahun, terutama di waktu malam; menyebabkan nelayan perlu mengambil langkah berwaspada sebelum turun ke laut.

"Keadaan ribut di laut memang lebih berbahaya daripada yang biasa berlaku di darat kerana nelayan berada di permukaan terbuka. Lazimnya nelayan akan memastikan keadaan bot adalah selari dengan ombak jika berada dalam keadaan itu.

"Bagaimanapun, lebih baik untuk menangguhkan niat untuk ke laut jika sudah tahu ribut akan melanda, tapi ia tidak mudah jika kita sudah berada di laut atau turun pada waktu malam kerana keadaan gelap," katanya.

Bagi nelayan Beserah di sini, Ramli Mohammad, 45, katanya, keadaan cuaca yang gelap dua hari lepas menyebabkan dia membuat keputusan untuk tidak turun ke laut dan beliau bersyukur kerana 'nalurinya' tepat apabila kawasan laut dilanda ribut.

Berdasarkan kepada pengalaman sebagai nelayan sejak lebih 11 tahun lepas, beliau tahu ribut angin barat atau angin selatan itu boleh mengambil masa selama sejam sebelum reda, menyebabkan beliau enggan ke laut jika melihat keadaan cuaca yang gelap.

Seorang nelayan Terengganu, Mohd Rusdan Mamat, 47, berkata, beliau memberi keutamaan kepada keselamatan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan apabila hendak turun ke laut.

“Saya rujuk kepada ramalan cuaca di internet, walaupun ia mungkin tidak seratus peratus tepat, ia membolehkan kita membuat persiapan untuk sebarang kecemasan. Bagaimanapun jika cuaca buruk, saya tidak akan ke laut,” katanya kepada Bernama.

“Cuaca di laut sukar diramal, ia boleh berubah dengan sekelip mata, bagaimanapun dengan peralatan kecemasan yang mencukupi, nelayan boleh berlindung di tempat yang selamat,” katanya kepada Bernama.

Wan Mat Zuki Wan Ali, 40, yang menjadi nelayan sejak meninggalkan sekolah 23 tahun lepas berkata, beliau tidak akan ke laut sekiranya kaki langit nampak gelap, dan beliau boleh meninjau keadaan angin di darat.

“Perkara terbaik yang perlu dilakukan apabila merasakan ribut akan melanda ialah dengan mencari tempat perlindungan di pulau berdekatan, seperti Pulau Perhentian atau Pulau Redang,” katanya dan menambah beliau akan memastikan pelbagai peralatan perlu di sediakan, seperti jaket keselamatan dan telefon bimbit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!