PKR arah Tian Chua letak jawatan lantikan politik
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengarahkan Naib Presidennya, Tian Chua meletak jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) atau berdepan tindakan tegas.
Memetik laporan portal Malaysian Insight, arahan itu dikeluarkan menerusi sepucuk surat ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 29 Jun 2020.
Laporan itu menjelaskan, selain arahan supaya Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang meletak jawatan, surat itu juga memaklumkan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 28 Jun lalu yang memutuskan bekas Ahli Parlimen Batu itu turut dikenakan amaran.
Pada Selasa lalu, Tian Chua yang dilantik sebagai Pengerusi MPC oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 26 April tahun lepas, melancarkan Laporan Produktiviti Nasional 2020 bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga bekas Timbalan Presiden PKR.
ARTIKEL BERKAITAN - PKR pecat 5 ahli termasuk Ketua Wanita, Haniza Talha
Sementara itu, dalam MPP PKR pada 28 Jun lalu memutuskan, Tian Chua dan dua yang lain, iaitu Pengarah Komunikasi Wanita Pulau Pinang, Carolyn Khor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim diberi amaran manakala lima pemimpin PKR yang dikatakan rapat dengan kumpulan Azmin dipecat.
Antara yang dipecat ialah ketua Wanita PKR yang juga ADUN Lembah Jaya Haniza Talha; Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid; Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria; dan dua ADUN Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Nibong Tebal).
Difahamkan Tian Chua mengesahkan menerima surat tersebut namun tidak menjelaskan sama ada akan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh PKR itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!