Disangka London, rupa-rupanya...
KOTA BHARU - Sekumpulan lelaki berpakaian ala Inggeris bertema gaya Mod dengan ciri-ciri vintaj dan retro sambil menunggang Vespa berjaya mengembalikan nostalgia zaman 60-an sekali gus membuatkan orang ramai mempercayai mereka berada di London.
Bagaimanapun mereka yang memakai pakaian itu hanya berada di Malaysia dan lebih spesifik di Kota Bharu, Kelantan.
Kreativiti yang ditonjolkan oleh Muhamad Hafizul Mohd Shuhaimi, 26, bersama rakan-rakannya menampilkan kelainan.
Muhamad Hafizul antara 80 individu yang menyertai konvoi Vespa serentak seluruh negara anjuran Art of Speed Malaysia dan memilih tema Mods sesuai dengan tema utama iaitu 'Lama X Ride' dan 'Dress to kill' pada 28 Jun.
Bercerita lanjut, Muhamad Hafizul lebih dikenali Pijo berkata, dia memilih tema Mod kerana mahu mencipta keunikan setelah tidak berpeluang keluar rumah dan bercuti kerana pandemik Covid-19.
"Sebenarnya, memilih gaya Mod ini bukan semata-mata memenuhi tema pihak penganjuran tetapi kita mahu menonjolkan keistimewaan gaya itu sendiri dan sisi lain si pemakai.
"Apabila kita menjiwai dan meminati gaya itu, barulah 'mood' dirasai, seolah berada di luar negara, tambahan pula sudah lama tidak 'ride', jadi dengan adanya peluang ini, kita guna sebaiknya," katanya.
Jelas Muhamad Hafizul dari kumpulan Kelantan Mods Geng, gaya dan pakaian tersebut berasal dari London telah berkembang ke seluruh dunia pada tahun 1960.
Antara jenama terkenal, seperti, Bes Sherman, Baracuta, Montagut, Fred Perry, Gabicci dan banyak lagi.
Menurut ketua operasi sebuah koperasi pengeluar dan pembekal makanan, memilih Vespa sebagai pengangkutan kerana meminati barang vintaj.
"Sewaktu menyertai kelab, saya kenal lebih ramai kawan seluruh negara dan antarabangsa. Vespa ini tidak mengikut trend kerana bila rosak dibaiki bukan diganti.
"Kini saya memiliki tiga buah Vespa iaitu model Jobot, Sprint dan Super," katanya.
Peminat model Lambretta ini memberitahu, Vespa model Sprint tahun 1979 kini berharga RM8,000.
Terdahulu, sebanyak 80 buah motosikal termasuk Vespa daripada dua kelab, seperti Rachun Motor Club dan Kelantan Mods Geng menyertai konvoi berkenaan.
Mereka mula berkonvoi di Padang Enggan dan sekitar Kota Bharu sejauh 20 kilometer bagi mengeratkan silatulrahim sesama ahli kelab.
Selain Vespa, Lambretta, Norton, Triumph, Harley-Davidson dan Volkswagen Kombi juga terlibat aktiviti konvoi tersebut.
Sebelum ini, Muhamad Hafizul memuat naik beberapa gambar aktiviti konvoi dengan gaya Mod di akaun Twitter tular di laman sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!