Platform ukur kerjasama mantap Muafakat Nasional
PEKAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menjadi satu kaedah untuk mengukur kerjasama dalam Muafakat Nasional serta penambahbaikan yang boleh dilaksanakan di seluruh negara.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau melihat kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional di PRK DUN Chini cukup baik dalam menggerakkan aktiviti politik.
Menurutnya, sebelum pembentukan Perikatan Nasional (PN), UMNO dan Pas telah ada perjanjian dan piagam yang digunapakai secara bersama.
"Piagam dan perjanjian itu sentiasa menjadi rujukan, tinggal lagi bila setiap kali ada PRK kita dapat mempraktikkan apa yang kita rancang. Tapi kini bila kita menjadi sebahagian kerajaan PN, agenda dan program MN macam terhenti sekejap dalam masa dua tiga bulan ini dan kebetulan pula berlaku pandemik koronavirus (Covid-19).
"Jadi sekarang bila ada PRK ini yang pertama selepas pembentukan PN, senarionya agak berbeza di mana kita kekalkan MN sebagai platform kerjasama dan pada masa sama kita juga sebahagian daripada PN," katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih di Felda chini 4 di sini, hari ini.
Annuar berkata, sekiranya PRK DUN Chini satu ujian, maka ujiannya bagaimana kita melihat Muafakat Nasional sebagai pendukung utama bertindak dan beroperasi dalam pilihan raya sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional.
"Sekarang ini kita sedang membuat persiapan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ahad ini saya dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan akan mengadakan pertemuan bersama pucuk pimpinan kedua-dua parti seluruh negara di Kuala Lumpur.
"Pertemuan ini untuk taklimat secara terperinci platform kerjasama dari segi pelaksanaan dan pembentukan jawatankuasa penyelaras dan jawatankuasa pelaksana di negeri dan kawasan parlimen," katanya.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan jawatankuasa induk Muafakat Nasional dan sekarang dalam usaha memformalkan jawatankuasa itu di semua kawasan pilihan raya.
"UMNO dan Pas bersetuju untuk kita sama-sama ambil pendekatan secara proaktif dari sudut menggerakkan jentera pilihan raya secara bersama. Jadi, jawatankuasa penyelaras akan menentukan jenis-jenis program dan aktiviti persiapan pilihan raya.
"Ini menunjukkan satu gerakan massa buat pertama kalinya dua parti ini bergabung tenaga dalam menggerakkan aktiviti politik,"katanya.
Tambah beliau, kerjasama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional pada PRK DUN Chini cukup baik walaupun persaingannya tidak begitu sengit kerana rakyat di sini telah bersatu hati dan sudah lama bersama wakil rakyat dari BN manakala PH tidak berani meletakkan calon.
"Konsep kita di sini lebih kepada sentuhan rakyat dan menyambung usaha dilakukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.
"Walaupun tiada saingan dari PH, bagi kita PRK ini juga penting kerana ia bukan soal berlawan tetapi soal menawar khidmat dan menjelaskan segala dasar BN, MN dan PN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!