SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 64 pertuduhan berkaitan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii, mengurung, mencederakan, ugut dan menyimpan video serta gambar lucah mangsa antara bulan Mei dan Jun lalu. Tertuduh, Mohd Tahir Ayub, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Diana Md Razali. Sebanyak 11 pertuduhan merogol disabitkan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang mana tertuduh didapati melakukan perbuatan itu terhadap seorang mangsa wanita berusia 37 tahun antara 4 Jun 2020 hingga 14 Jun 2020. Tertuduh juga berdepan 48 pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama antara 29 Mei 2020 hingga 18 Jun 2020. Selain itu, tertuduh telah melakukan pemerasan dan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa dengan mahu menyebarkan video dan gambar bogelnya sehingga mendorong mangsa menyerahkan harta RM3,000 pada 9 Jun 2020. Bagi perbuatan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Tertuduh pada 3 Jun 2020 juga telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan menggigit dada, tangan, kaki dan seluruh badan. Pertuduhan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan turut disabitkan terhadap tertuduh atas perbuatan mengurung mangsa selama 12 hari iaitu pada 28 Mei 2020 hingga 8 Jun 2020. Pada 1 Jun 2020, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah terhadap mangsa dengan ugutan hendak menyebabkan kematian dan kebinasaan hartanya. Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Haji Sulaiman, Pancang di Rembau. Sementara itu tertuduh turut berdepan kesalahan mengikut Seksyen 292(A) Kanun Keseksaan kerana didapati memiliki video dan gambar lucah mangsa di dalam kad memori telefon bimbitnya. Peguam, Muhamad Imran Mohamad Farok merayu agar mahkamah memberikan jaminan yang rendah terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh baru kehilangan kerja. Katanya, jaminan tidaklah perlu membentuk satu hukuman tetapi memberi gambaran pada mahkamah yang tertuduh akan hadir sepanjang kes berjalan. Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM306,000 bagi kesemua pertuduhan dan 26 Ogos ini sebutan semula kes. selain itu, tertuduh perlu laporkan diri di Balai Polis Rembau pada setiap hari Sabtu minggu pertama setiap bulan serta serahkan pasport kepada mahkamah Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Atiqah Sapari.