UMNO bakal tinggalkan Bersatu, kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah pada sesi wawancara bersama CNA hari ini.
Tengku Razaleigh Hamzah pada sesi wawancara bersama CNA hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO percaya parti itu akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi membolehkan parti mereka menang dalam kedudukan yang dominan.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sekiranya UMNO tidak menang dalam kedudukan dominan dalam PRU akan datang, akan berlaku satu lagi siri ketidakstabilan politik.

“Bersatu tak sepatutnya ada pun (dalam kemungkinan itu). Mereka (ahli parti UMNO) berasa bahawa ia (kerjasama) harus berlaku hanya dalam kalangan Muafakat (Nasional) Pas, UMNO dengan rakan-rakan tradisi Barisan Nasional (iaitu) MCA dan MIC.

“Begitu, barulah tidak akan ada masalah agihan kerusi tapi kalau kamu bawa Bersatu, kami mungkin akan berdepan (keputusan) pilihan raya yang menyebabkan kita berada dalam situasi ‘tergantung’ sekali lagi, tiada yang ada kedudukan dominan, tiada yang mempunyai majoriti jelas.

“Kemudian, kita akan menghadapi situasi yang sangat tidak stabil,” kata Tengku Razaleigh yang juga merupakan ahli Parlimen Gua Musang kepada Channel News Asia (CNA) ketika sesi wawancara bersama wartawan CNA, Melissa Goh hari ini.

Ketika ditanya apakah beliau percaya UMNO akan terus menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dalam PRU akan datang, jawab Tengku Razaleigh, dia tidak rasa hal itu akan berlaku.

“Saya tak rasa begitu. Susunan di dalam Perikatan Nasional (seperti sekarang) hanyalah semata-mata demi memastikan kestabilan. Bila kita berdepan dengan PRU, itu satu situasi yang berbeza. UMNO akan fikir dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, bahawa UMNO dan Pas bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15, setelah perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!