'Jangan salah guna nama TPM'
PUTRAJAYA – Pejabat Timbalan Perdana Menteri memberi amaran kepada semua organisasi supaya tidak menggunakan atau mengedarkan bahan seperti teks ucapan yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran.
Amaran itu susulan satu laporan berita yang memetik ucapan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkaitan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG) yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd.
Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Timbalan Perdana Menteri itu sebentar tadi, laporan itu adalah tidak benar dan tindakan tegas akan diambil jika situasi seperti tersebut berulang.
“Teks ucapan yang dibaca pada pelancaran projek ini tidak pernah diluluskan Timbalan Perdana Menteri ataupun Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri juga tidak mewakilkan kepada sesiapa untuk membaca teks ucapan beliau pada majlis tersebut,”menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Wan Azizah tidak pernah sama sekali berkata bahawa kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada pelaksanaan projek EM-IIG.
“Menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran beliau adalah perkara yang serius. Amaran diberikan kepada semua organisasi supaya tidak menggunakan atau mengedarkan bahan seperti teks ucapan yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran,”menurut kenyataan itu lagi.
Laporan yang mula disiarkan di beberapa portal berita berbahasa inggeris sejak tengah hari ini mendakwa projek bernilai RM5.45 bilion itu meliputi pemasangan serat optik terbesar di dunia yang melibatkan talian 110,000 km.
Dakwa laporan tersebut, fasa pertama projek dijangka siap pada November, dengan talian Internet yang menghubungkan Pengerang, Johor, ke Putrajaya, di mana pengguna boleh menikmati kelajuan sehingga satu gigabit sesaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!