Pembentangan RMK-12 ditangguh

Dari kiri: Mustapa, Pengarah Eksekutif DAPAT Vista (M) Sdn Bhd, Sabri Rahman; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Fass Payment Solution Sdn Bhd, Chris Leong ketika gimik Majlis Pelancaran Pembiayaan dan Pembayaran Digital dan e-Dompet My Pay hari ini. Foto: Bernama
Dari kiri: Mustapa, Pengarah Eksekutif DAPAT Vista (M) Sdn Bhd, Sabri Rahman; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Fass Payment Solution Sdn Bhd, Chris Leong ketika gimik Majlis Pelancaran Pembiayaan dan Pembayaran Digital dan e-Dompet My Pay hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen yang dijadualkan pada 6 Ogos ini ditunda kepada Januari 2021 untuk membolehkan ia dikaji semula susulan kesan ekonomi dunia akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun tarikh yang dijadualkan semula untuk pembentangan RMK12 belum ditetapkan lagi.

Sebelum ini dilaporkan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan menyusun semula RMK12 dengan mengambil kira keadaan ekonomi terkini dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal berada di landasan pembangunan mampan dan inklusif.

"Perubahan disebabkan Covid-19 itu sudah pasti (wujud), kita perlu mengambil kira cara kita bekerja, landskap ekonomi juga berubah dengan ketara dan mendadak, jadi, itu perlu diambil perhatian, sebab itu ia (RMK12) perlu dilihat semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan pembiayaan dan pembayaran digital dan e-Dompet MyPay di sini hari ini

Inisiatif digital itu bertujuan meluaskan penggunaan MyPay bagi pembayaran pinjaman dan pelaburan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara dalam talian, selain pembiayaan digital menerusi kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) dan membolehkan integrasi dengan e-Dompet secara selamat.

Kerjasama di antara DAPAT Vista (M) Sdn Bhd, PTPTN, BIMB dan Fass Payment Solutions Sdn Bhd itu akan meningkatkan penggunaan dan menyokong kemudahan pinjaman wang secara dalam talian.

Mengulas mengenai majlis itu semalam, Mustapa memuji inisiatif yang diperkenalkan itu memandangkan ia secara tidak langsung akan meningkatkan penggunaan e-dompet di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mustapa berkata, rakyat Malaysia kini sudah menyesuaikan diri dan yakin dengan normal baharu, sekali gus telah mendorong inovasi dalam bidang digital.

Beliau berharap lebih banyak kerjasama awam-swasta dapat diwujudkan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi memandangkan agenda digital kerajaan juga bertujuan memperkasakan pengguna, terutama masyarakat di desa dan pinggir bandar khususnya kumpulan B40 yang tidak patut ketinggalan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!