Persidangan Dewan Rakyat ikut SOP

Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat.
A
A
A

BATU PAHAT - Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 13 Julai depan akan dilaksanakan dalam keadaan kebiasaan baharu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, perkara utama yang perlu diikuti adalah penjarakkan sosial satu meter di antara ahli Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, kedudukan setiap ahli Parlimen di dalam dewan akan diperkemaskan termasuk kedudukan mereka yang sebelum ini yang agak tidak sekata jaraknya.

“Ketika sidang sebelum ini (18 Mei lepas), ada jarak antara YB (Yang Berhormat) ini yang satu meter atau lebih, namun, pada sidang yang akan datang ini ia akan disusun dengan kiraan yang lebih tepat agar persidangan dapat berlangsung dengan lancar dan mampu memuatkan para tetamu.

“Semua ahli YB perlu hadir pada kali ini kecuali ada alasan kukuh... pemeriksaan kesihatan pula hanya perlu dilakukan bagi mereka yang bergejala,” katanya yang ditemui pemberita pada program pemberian sumbangan kebajikan Parlimen Batu Pahat di sini hari ini.

Mohd Rashid berkata, persidangan Dewan Rakyat juga akan dijalankan seperti kebiasaan dengan tempoh masa bersidang akan dimulakan pada jam 10 pagi dan akan tamat pada 5.30 petang, kecuali jika ada usul baharu.

Beliau berkata, sidang berkenaan boleh dianggap penting di mana akan lebih memfokuskan kepada usul berkaitan keselamatan negara berbanding dengan usul lain. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!