Sabah tidak bincang kebenaran masuk pekerja China: Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bangunan Perdana Putra hari ini.

A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Sabah tidak pernah berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung keputusan membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di peringkat persekutuan, kerajaan masih menutup pintu negara kepada pekerja warga asing, kecuali ekspatriat kategori EP1 (pengurusan tertinggi) yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“China, sebuah negara yang besar dan masih dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi dan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih berbincang mengenal pasti kawasan-kawasan merah dan hijau di negara itu,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Rabu lepas, Kerajaan Sabah dilaporkan membuat keputusan membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri itu tertakluk kepada segala peraturan yang ditetapkan sepanjang PKPP termasuk melakukan ujian saringan Covid-19 di tempat masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah dan disahkan bebas daripada wabak berkenaan.

Ditanya mengenai kebenaran mendirikan solat Jumaat bagi pelajar antarabangsa yang tinggal di kampus, Ismail Sabri berkata, tiada halangan bagi mereka untuk mendirikan solat berjemaah bersama-sama pelajar tempatan.

“Mereka sudah lama berada di kampus dan kita tahu tiada kluster baharu membabitkan pelajar di dalam kampus, maka tiada isu jadi kita (kerajaan) benarkan mereka solat berjemaah.

“Bagaimanapun, hanya di masjid yang berada di dalam kampus universiti sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, kebenaran sama turut diberikan kepada mana-mana pelajar yang pulang dari luar negara dan didapati negatif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan.

Artikel Berkaitan:

Kebenaran mendirikan solat Jumaat dan solat berjemaah itu diumumkan minggu lepas mengambil kira keluasan masjid serta perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial.

Menyentuh mengenai persoalan sama ada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas tidak dibenarkan mengunjungi tempat awam dan pasar raya, beliau berkata tiada larangan sebaliknya tidak digalakkan memandangkan mereka adalah golongan berisiko.

“Kita (kerajaan) tidak pernah larang tetapi bagi golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak, kita nasihatkan agar elakkan tempat seumpama itu,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!