'Saya yakin abang masih hidup'
BACHOK - Adik kepada mangsa insiden bot karam di perairan Kemasin, Che Wadi Bakar, 44, yang masih hilang sejak Isnin lalu mahu abangnya ditemukan dalam apa juga keadaan.
Bagaimanapun, Cik Normas Bakar, 35, berkata, dia dan keluarga yakin abangnya yang juga anak kelima daripada tujuh beradik itu masih hidup.
"Kami reda dengan ketentuan ALLAH, semoga urusan pencarian dipermudahkan dan menemuinya dalam apa juga keadaan," katanya kepada pemberita di Jeti Pemasaran Ikan Kemasin di sini hari ini.
Cik Normas dan ahli keluarga tidak meninggalkan jeti tersebut bagi memastikan mereka sentiasa mendapat maklumat lanjut dari masa ke masa melibatkan operasi yang dijalankan.
Ketika ditanya mengenai petanda terakhir yang ditunjukkan Che Wadi pada hari kejadian, Normas berkata, abangnya merupakan seorang pendiam dan berwajah bengis.
Bagaimanapun pada hari kejadian, katanya, Che Wadi bergurau dan ketawa dengan ahli keluarga di kawasan rumahnya di Kedai Buloh.
"Memang agak pelik sebab biasanya dia diam saja. Tapi pagi hari kejadian itu, dia bergelak ketawa dengan saudara mara yang lain. Apa pun, saya harap dia ditemui, kami mahu jasadnya ditemui," katanya.
Sehingga jam 7 petang ini, dua mangsa yang masih belum ditemui ialah Che Wady dan Arman Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!