Super Kip gagal berlepas ke Sepanyol
SEPANG - Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta Racing gagal berlepas ke Sepanyol pagi tadi bagi menyertai Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) kerana sekatan kemasukan pelancong dikenakan Kesatuan Eropah.
Prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata, pelumba yang terkenal dengan jolokan Super Kip itu tidak dapat berlepas bagi menyertai kejuaraan di Litar Jerez pada 19 Julai kerana Kesatuan Eropah hanya membenarkan pelancong dari 15 buah negara memasuki Eropah.
“Malang sekali Malaysia tidak disenaraikan dan kebetulan pada hari sama (pengumuman dibuat), KIP sepatutnya berlepas, malangnya dia tidak dapat melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razlan berkata, pihaknya kini meminta bantuan Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP untuk bekerjasama dengan kerajaan Sepanyol supaya memberi pengecualian dan kebenaran kepada semua pelumba Malaysia yang beraksi dalam MotoGP memasuki negara terbabit.
“Kita sedang berusaha dengan pihak Dorna Sports dan insya-ALLAH dalam masa sehari dua ini kita mungkin dapat surat kebenaran tersebut,” katanya.
Khairul Idham kembali ke dalam saingan Moto3 musim ini selepas terpaksa melupakan keseluruhan aksinya dalam kategori Moto2 musim lalu susulan kecederaan di jari yang serius hingga perlu menjalani pembedahan.
Kejuaraan MotoGP musim ini ditangguhkan pada Mac, selepas perlumbaan di Qatar akibat penularan wabak Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!