Mengkhianati orang baik

A
A
A

SIKAP mengkhianati adalah termasuk dalam kelompok sifat yang tercela. Hakikatnya kita tidak dibenarkan untuk mengkhianati sesiapa pun hatta mereka adalah seorang yang jahat, apatah lagi mengkhianati orang yang baik-baik.

Pun begitu, pentafsiran khianat adalah berbeza bagi setiap individu. Apa yang jelas, mereka amat payah menyedari bahawa mereka telah mengkhianati seseorang secara sedar atau tidak, namun cepat pula berasa apabila dirinya dikhianati.

Sebetulnya, amat mudah kita mengenal pasti pengkhianatan yang dilakukan secara zahir, namun amat payah untuk membezakan pengkhianatan yang dilakukan secara halus. Apabila dikupas pengkhianatan secara halus kesannya bukan berlaku dalam masa terdekat namun boleh memudaratkan dalam jangka masa panjang.

Kadangkala, pengkhianatan itu bukannya secara langsung datang daripada kita namun kebanyakannya hadir daripada orang ketiga. Apa tidaknya, hanya dengan mendengar cakap, kita sudah buat kesimpulan mengenai si polan. Malah, dengan menilai perbuatan yang tidak berkenan di mata, kita sudah ketepikan mereka.

Sesungguhnya, terdapat ribuan kisah sama ada yang tercatat atau secara lisan berkaitan dengan pengkhianatan terhadap orang yang baik.

Jika semasa zaman Firaun dan para Nabi banyak dilakukan pengkhianatan secara fizikal, namun pada masa kini pengkhianatan banyak dilakukan secara halus dan maya.

Natijahnya, ramai orang yang baik-baik runtuh rumah tangga mereka, hilang pekerjaan, dihalang rezeki dan pelbagai lagi kesan negatif kepada mereka.

Pun begitu, kerana mereka sememangnya orang yang baik-baik, amat jarang meroyan serta mengadu dengan keburukan yang menimpa mereka, sebaliknya mereka hanya bersabar dan begitu istiqamah berdoa kepada ALLAH. Ingatlah, doa mereka yang teraniaya dan dizalimi akan diangkat doanya oleh ALLAH tanpa hijab. Sepatutnya kita gerun untuk mengkhianati mereka.

Artikel Berkaitan:

Berkisar pasal kebaikan, kisah berkaitan kaum Muhajirin dan Ansar begitu menyentuh hati saya dan perlu dijadikan pedoman untuk kita semua. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas, kaum Muhajirin berkata: “Wahai Rasulullah, tidak pernah kami menemukan kaum yang sangat baik menerima kami, baik dalam keadaan sempit mahupun lapang. Mereka telah membantu mencukupi keperluan kami. Mereka pun menjadikan kami sebagai saudara dalam memenuhi segala keperluan kami, sehinggakan kami takut kalau mereka menghabiskan semua pahala.”

Maka Nabi bersabda: “Tidak, selama kalian berterima kasih atas (kebaikan) mereka, kalian mendoakan mereka kepada ALLAH.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Berkaitan kisah ini, ALLAH berfirman: “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-mara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki terhadap orang-orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya engkau maha penyantun lagi maha penyayang.” (Surah Al- Hashr, 59:10).

Apa yang jelas, pengajaran amat besar yang sepatutnya kita peroleh adalah sentiasa mendoakan orang yang berbuat baik kepada kita dan bukannya mengkhianati mereka.

Pun begitu, tidak semua yang baik akan kekal baik, begitulah juga kita. Teruskan berdoa agar kita tidak menyimpang kepada kesesatan setelah diberi petunjuk oleh ALLAH.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!