Geng Man Patah tumpas: Polis cari dua individu
PETALING JAYA - Polis berjaya menumpaskan Geng Man Patah yang aktif dalam kegiatan jenayah pecah rumah dan pejabat dalam serbuan berasingan di sekitar Petaling Jaya.
Seramai lima suspek termasuk dua wanita dan seorang warga Bangladesh diberkas dalam serbuan selama empat hari bermula 14 Januari sehingga kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashriman Ku Mahmood berkata, soal siasat mendapati kumpulan ini aktif di Petaling Jaya dan beberapa daerah lain di kawasan Kuala Lumpur.
"Beberapa barang dianggar bernilai RM120,000 telah dirampas antaranya komputer riba (11 unit), telefon bimbit (41 unit), monitor (tiga unit) dan projektor.
"Turut dirampas adalah peralatan pecah rumah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, siasatan masih dijalankan dan polis sedang giat mencari dua individu bagi membantu siasatan.
Dua individu itu ialah Nurzafirah Khuzainy, 23, dengan alamat akhir di No 31, Jalan 16/146, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi Kuala Lumpur dan Muhammad Firdaus Abdullah, 24, dan alamat terakhirnya di H-1-08 PPR Desa Rejang, Kuala Lumpur.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dua individu ini boleh hubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Fairoz Rodzuan di talian 017-3983498 dan Inspektor Ali Asrar Abu Bakar di talian 011-10692506.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!