Ancaman Covid-19 belum habis
AWANG rasa sebak tengok Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah apabila beliau pegang plakad menunjukkan angka ‘1’ beberapa hari lalu.
Pada hari tersebut, hanya seorang dijangkiti wabak itu di Malaysia, angka terendah sejak kiraan mula dibuat.
Kita tentu mengharapkan angka satu digit akan dikekalkan dan seterusnya menjadi kosong. Kita menunggu harinya beliau mengumumkan tidak ada satu kes jangkitan pun di Malaysia.
Namun, jangan lupa, ancaman wabak itu masih belum berakhir. Pada masa ini, kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (Pemulihan) atau PKPP.
Malaysia bernasib baik oleh sebab kita bertindak segera. Banyak negara lain menghadapi masalah serius.
Pada hari ini, lebih 10 juta manusia dijangkiti wabak itu, lebih 500,000 telah terkorban. Di Amerika Syarikat lebih 40,000 kes baharu direkodkan sehari. Di negara-negara Latin Amerika jumlahnya semakin bertambah.
Kesannya pada ekonomi dunia tentulah teruk. Oleh sebab itu, kita kena terima kenyataan bahawa kesan pada ekonomi akan bertambah buruk. Malaysia negara dagang yang besar. Apabila negara lain tak sihat ekonomi kita akan terjejas.
Awang puji langkah kerajaan Tan Sri Perdana Menteri tangani wabak ini. Rakyat kita pun bersedia berkorban. Hasilnya dapat kita lihat. Tapi kita belum menang lagi.
Awang rasa rakyat mahu pemulihan ekonomi diutamakan, hal politik boleh dikemudiankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!