Alat pengimbas haba inframerah automatik lebih jitu, kata pakar kesihatan
SHAH ALAM - Penggunaan alat pengimbas haba inframerah automatik memberikan hasil bacaan suhu badan yang lebih jitu.
Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, menerusi penggunaan alat pengimbas inframerah yang dilengkapi skrin wajah, jarak antara orang yang diimbas dengan alat berkenaan telah ditetapkan.
“Kalau guna alat pengimbas inframerah biasa yang perlu dipegang dengan tangan, mungkin bacaannya tidak tepat kerana ia bergantung kepada faktor manusia itu sendiri seperti cara dia imbas, bahagian dahi yang diimbas dan jarak dengan orang yang diimbas.
“Ia berbeza dengan alat pengimbas haba inframerah automatik yang siap dipasang di satu-satu tempat dan kedudukan pelajar boleh ditandakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Namun, Dr Hanafiah menjelaskan, secara asasnya fungsi alat pengimbas haba dan alat pengimbas suhu digital biasa adalah sama kerana kedua-duanya menggunakan teknologi inframerah.
Menurutnya, kedua-duanya berfungsi untuk menyukat suhu badan bagi menentukan seseorang itu demam atau sebaliknya.
Apa yang membezakan, katanya, hanyalah cara penggunaan alat itu oleh manusia kerana mungkin timbul rasa penat jika terpaksa mengimbas ramai orang pada satu-satu masa.
“Selain itu, penggunaan alat pengimbas haba inframerah memberi kelebihan dari segi penjimatan masa dan tenaga kerana pelajar tidak perlu beratur panjang.
“Ia juga beri kelebihan kepada pihak pengurusan sekolah sebab guru tidak perlu lagi bergilir-gilir memantau ketika bacaan suhu diambil. Cukup dipantau oleh seorang guru sahaja,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya sekolah mempunyai sumber kewangan dengan bantuan daripada alumni, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan sebagainya, alat itu boleh digunakan di sekolah.
Kata Dr Hanafiah lagi, apa yang lebih mudah ialah ibu bapa perlu memastikan anak mereka tidak hadir ke sekolah jika mempunyai gejala demam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!