‘Lifeguard’ kembali bertugas
MARANG - Pasukan penyelamat pantai memulakan tugas memantau keselamatan pengunjung kawasan rekreasi terkenal Pantai Pulau Kekabu Rabu lepas selepas pantai itu dibuka kepada orang ramai.
Pegawai APM Daerah Marang, Kapten Mohd Zabri Abd Razak berkata, pasukan berkenaan memulakan tugas dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.
Beliau berkata, ramai yang membawa keluarga seawal jam 8.30 pagi, tetapi berkurangan pada waktu tengah hari dan kembali meriah ketika petang.
“Pantai ini memang selamat untuk mandi kerana kita sudah memasang boya melibatkan lokasi yang tiada arus kuat tetapi pengunjung perlu mandi di tempat yang dibenarkan sahaja iaitu dalam kawasan boya.
“Jangan mandi di kawasan yang dipasang bendera merah kerana di situ ada arus kuat. Kita tidak nampak bahayanya kerana ada arus kuat di bawah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mohd Zabri berkata, zon selamat mandi juga sudah diperluaskan dari 100 meter kepada 150 meter untuk keselesaan orang ramai berikutan peningkatan jumlah kehadiran pengunjung ke pantai itu.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai yang berkunjung ke Pantai Pulau Kekabu dapat mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan serta keselamatan yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!