Hidup tanpa elektrik, air
SEKINCHAN - Seorang ibu tunggal buntu apabila bekalan elektrik dan air rumahnya dipotong sejak lebih setahun lalu akibat dihimpit kemiskinan.
Siti Hamidah Omar, 64, berkata, dia menghuni rumah peninggalan arwah suaminya itu bersama seorang lagi anaknya, Marzuki Mashod, 42.
Menurutnya, rumahnya sebelum ini dilengkapi kemudahan elektrik dan air, namun gagal menjelaskan bayaran utiliti itu akibat tidak berkemampuan.
"Saya tidak ada kudrat hendak bekerja kerana menghidap kencing manis dan darah tinggi, selain tidak mempunyai sumber pendapatan tetap," katanya kepada Sinar Harian.
Siti Hamidah berkata, dia bergantung harap bantuan barangan keperluan dapur daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada setiap bulan.
Katanya, kehidupannya amat susah terutama selepas kematian suaminya yang sebelum ini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.
"Sehingga kini saya tidak menerima apa-apa bantuan kewangan bulanan dan kehidupan saya terlalu daif," katanya.
Malah, katanya, dia juga menyara Marzuki yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) selepas terbabit dalam kemalangan motosikal 10 tahun lalu.
"Selepas terbabit dalam kemalangan motosikal, kehidupan Marzuki jauh berubah dan tidak lagi mampu bekerja kerana mengalami masalah daya ingatan," katanya.
Ujarnya, pada masa ini dia terpaksa menarik bekalan elektrik dan air dari rumah jiran bagi mendapatkan kemudahan asas itu.
"Sampai bila saya hendak hidup begini, malah kadang-kadang saya rasa sedih mengenangkan nasib yang dialami," katanya.
Justeru katanya, dia berharap ada pihak yang sudi membantu menyambung semula bekalan elektrik dan air agar dapat menikmati hidup lebih selesa.
"Saya bukan mahukan wang ringgit, tapi cukuplah sekadar rumah saya dilengkapi kemudahan asas seperti rumah lain," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 014-7335509.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!