Tempoh saringan lebih singkat guna pengimbas haba inframerah automatik
SHAH ALAM - Proses mengambil suhu badan murid akan dapat disingkatkan dengan penggunaan alat pengimbas haba badan inframerah automatik tanpa menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, alat berkenaan ketika ini dilihat umpama satu keperluan dalam situasi persekolahan pada era normal baharu sekarang.
“Jadi ABIM sangat-sangat bersetuju apabila ada cadangan agar alumni sekolah ambil inisiatif untuk melaksanakan crowdfunding untuk mengumpul dana bagi membeli alat pengimbas suhu inframerah automatik ini di semua sekolah kebangsaan.
“Untuk alumni sendiri, sekarang adalah masa terbaik kepada mereka sebagai bekas murid untuk menyumbang semula kepada sekolah atas rasa pemilikan tanggungjawab mereka terhadap institusi sekolah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Wajar kumpul dana beli alat imbas haba inframerah
Muhammad Faisal berkata, dengan adanya media sosial ketika ini, usaha untuk mengumpulkan alumni bagi menjalankan kerja-kerja pengumpulan dana lebih mudah dan ia dapat dilakukan secara lebih meluas.
Menurutnya, kerja-kerja mengimbas suhu murid akan lebih senang kerana murid hanya perlu berdiri dalam jarak jauh tetapi pengukuran haba badan dapat dilakukan dengan tepat, pantas dan stabil yang dikesan oleh pengukuran suhu pengimejan haba dan pengecaman wajah kecerdasan buatan (AI).
Katanya, inisiatif yang mahu dilakukan itu sebenarnya sama seperti usaha yang dilakukan alumni sekolah agama ABIM untuk membantu rangkaian sekolah agama termasuk Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski) milik ABIM dengan menyalurkan sumbangan dalam bentuk dana kewangan.
“Bantuan yang dihulurkan secara tidak rasmi oleh alumni ABIM ini sekurang-kurangnya meringankan beban kira-kira 40 buah sekolah ABIM di seluruh negara yang dibuka semula sejak 1 Julai lalu yang mana kapasitinya bergantung kepada ruang sekolah.
“Bantuan diberikan dalam bentuk dana kewangan untuk pembelian barangan keperluan sekolah seperti alat pengimbas suhu digital biasa dan pensanitasi tangan,” katanya.
Muhammad Faisal berkata, inisiatif alumni membuat kutipan dana itu juga akan membuka ruang baharu kepada sekolah untuk mendapatkan sumber kewangan dan bukan hanya bergantung kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau badan-badan sedia ada.
Beliau berkata, inisiatif alumni membuat kutipan tabung itu memberi idea kepada ABIM untuk turut sama membincangkan langkah itu, namun ia perlu diputuskan di peringkat pengurusan badan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!