Tiga kereta terbakar dipercayai angkara khianat
KUALA LUMPUR - Sebanyak tiga buah kereta yang diparkir di bahu jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Kuching di sini terbakar awal pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya mendapati tiga buah kereta jenis Mercedes Benz, Perodua Axia dan Perodua Myvi terbakar pada jam 1.27 pagi.
“Ketiga-tiga kenderaan itu musnah terbakar 100 peratus, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada saksi dan tidak ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Pemilik kenderaan masih belum dikenali pasti dan anggaran kerugian belum diketahui. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.19 pagi melibatkan kebakaran tiga kereta yang diletakkan di bahu jalan di kondominium tersebut.
Menurutnya, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan bantuan BBP Sri Hartamas ke lokasi kejadian diketuai Komander Operasi, S Thirugaiyah.
"Tiga kenderaan terdiri Perodua Viva, Perodua Myvi dan Mercedes Benz yang terletak berhampiran antara satu sama lain itu musnah keseluruhan.
"Kejadian tidak melibatkan mangsa dan punca kejadian masih disiasat," katanya.
Katanya, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan melibatkan sebuah Perodua Myvi yang diletakkan berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Cempaka Jalan Kampung Pasir sekitar jam 4.24 pagi.
"Kereta berkenaan terbakar 30 peratus. Kebakaran turut melibatkan melibatkan tempat pembuangan sampah seluas 12 kaki persegi, namun tidak melibatkan mangsa.
"Seramai 19 anggota dari BBP Pantai dan BBP Seputih dengan dua jentera terlibat dalam operasi pemadaman itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!