Pengeluaran daging tumpuan utama
KLUANG - Industri pengeluaran daging menjadi tumpuan utama dalam mencapai jaminan keperluan makanan negara sekali gus mampu menjana pendapatan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementerian bercadang meningkatkan pengeluaran daging negara dengan meningkatkan produktiviti termasuk mengambil kira pandangan daripada golongan penternak dan pemain industri.
Beliau berkata, bagi tujuan itu sebuah Jawatankuasa Kabinet Jaminan Makanan ditubuhkan bagi memastikan tahap pengeluaran daging negara mencukupi untuk pasaran tempatan.
Katanya, langkah itu perlu dilakukan memandangkan bekalan daging negara banyak diimport dari luar negara antaranya India, Australia dan Brazil.“Di peringkat kementerian, kita sedang memikirkan cara terbaik untuk meningkatkan pengeluaran daging negara menerusi ternakan lembu daging bagi memenuhi pasaran tempatan.
“Bagi memastikan perkara ini dapat dicapai, Jawatankuasa Kabinet Jaminan Makanan ditubuhkan di peringkat kementerian yang dianggotai 12 penasihat dan juga pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke ladang Projek Pertanian Moden (PPM) Jalan Kluang-Mersing di sini semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dan Ketua Pengarah Eksekutif DK Ternak Sdn Bhd, Datuk Raghu Raman Pillai.Ronald berkata, lawatan ke ladang PPM Jalan Kluang-Mersing bertujuan melihat perkembangan terkini projek pertanian tersebut selepas dibangunkan sejak 16 tahun lepas.
Katanya, ladang PPM di Jalan Kluang-Mersing telah dibangunkan sejak tahun 2004 dengan keluasan 9,027 ekar merangkumi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan dan agro pelancongan.
Beliau berkata, secara amnya, ladang PPM dibangunkan untuk menjadi satu model projek pertanian yang bukan sahaja berupaya membantu dalam meningkatkan pengeluaran makanan negara tetapi juga menjadi perintis dan contoh kepada pengamalan pertanian secara baik dan moden dengan penggunaan teknologi tinggi dan terkini.
“Pada tahun 2016 sehingga 2019, purata jumlah pengeluaran di ladang PPM adalah sebanyak RM78.19 juta iaitu di bawah sasaran yang ditetapkan sebanyak RM100 juta nilai pengeluaran setahun.
“Penglibatan setiap jabatan dan agensi serta syarikat secara serius amat penting bagi membangunkan ladang PPM dan memastikan matlamat sebenar projek nasional ini dicapai,” kata beliau.
Ronald berkata, kementeriannya akan membuat penilaian semula terhadap ladang PPM bagi memastikan projek itu kekal relevan seiring dengan perkembangan teknologi terkini dalam sektor pertanian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!