92 kompaun RM4.6 juta ke atas syarikat telekomunikasi
CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan sebanyak 92 kompaun bernilai RM4.6 juta kepada syarikat telekomunikasi atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 105(3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 setakat suku kedua tahun ini.
SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, kesemua kompaun yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan untuk prestasi penyelesaian aduan pengebilan, prestasi penyelesaian aduan bukan pengebilan dan standard prestasi pengendalian panggilan (talian hotline pelanggan).
Menurutnya, jumlah dan nilai kompaun sehingga suku kedua 2020 tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan sepanjang 2019 yang menyaksikan hanya 26 kompaun bernilai RM960,000 sahaja dikeluarkan.
Ia berkata, peningkatan jumlah kompaun yang dikeluarkan sehingga suku kedua 2020 itu menunjukkan ketegasan dan komitmen SKMM dalam memastikan kualiti pengalaman pengguna sentiasa terjamin.
Katanya, ini sekali gus mengukuhkan keyakinan dan kebolehpercayaan pengguna terhadap industri komunikasi dan multimedia negara serta memastikan kemampanan industri terhadap kepentingan pengguna untuk jangka panjang.
"Pihak SKMM akan terus bertindak tegas terhadap mereka yang gagal mengekalkan standard yang ditetapkan dalam AKM 1998, Piawaian Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) serta Kod Pengguna Am.
"Mereka yang ingkar boleh didenda mengikut Seksyen 105(3) AKM 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM100,000 bagi setiap kesalahan," katanya.
Suruhanjaya itu berkata, pihak industri disarankan supaya meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi kepentingan pengguna dan seterusnya memperkukuh kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!