Mangsa banjir mohon PBT sediakan siren amaran

Kamariah Ramli, 46, yang sudah 25 tahun menghadapi situasi sama setiap kali banjir melanda kampungnya di Kampung Sungai Lumut dekat sini, berkata, seandainya pihak berkuasa tempatan dapat memberi amaran awal kepada penduduk di kawasan ini jika berlaku ancaman banjir, mudah bagi mereka untuk bertindak menyelamatkan barang berharga. - Foto Bernama
Kamariah Ramli, 46, yang sudah 25 tahun menghadapi situasi sama setiap kali banjir melanda kampungnya di Kampung Sungai Lumut dekat sini, berkata, seandainya pihak berkuasa tempatan dapat memberi amaran awal kepada penduduk di kawasan ini jika berlaku ancaman banjir, mudah bagi mereka untuk bertindak menyelamatkan barang berharga. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING – Bukan mengharapkan bantuan wang ringgit, cukup sekadar menyediakan bantuan awal seperti siren amaran bagi memberikan amaran awal kepada kawasan sekitar akan berlakunya banjir sekirannya hujan lebat berterusan.

Demikian luahan Kamariah Ramli, 46, yang sudah 25 tahun menghadapi situasi sama setiap kali banjir melanda kampungnya di Kampung Sungai Lumut di sini.

Beliau berkata seandainya pihak berkuasa tempatan mampu memberi amaran awal, adanya ancaman banjir kepada penduduk di kawasan sekitar, mudah bagi keluarganya menyelamatkan barang-barang berharga.

"Semalam semasa banjir, anak lelaki saya sedar-sedar sahaja rupanya sudah tidur dalam air dan bantalnya dah tenggelam.

“Kejadian itu berlaku pada jam 4 pagi sewaktu kami sekeluarga sedang nyenyak tidur. Bila air dah naik macam itu, barang-barang berharga seperti kereta, motorsikal, mesin basuh dan peti sejuk sudah terkena air dan ada yang rosak,” kata ibu kepada tiga anak itu kepada Bernama.

Rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Lumut di sini dinaiki air semalam sehingga paras lutut setelah kawasan ini mengalami hujan yang tidak berhenti sejak 8 malam semalam.

Beliau berkata seperti kejadian yang berlaku semalam, sekiranya pihak berkuasa tempatan memberi amaran awal akan berlaku banjir, keluarganya boleh bersedia mengalihkan kereta atau motosikal ke kawasan selamat dengan lebih awal.

“Kereta saya ini sudah tujuh kali keluar masuk bengkel kerana banjir dan ia secara tidak langsung menyukarkan rutin harian saya dan anak-anak,” katanya yang merupakan seorang peniaga di pusat gerai penjaja di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu jirannnya, Dermatasiah Abdullah, 53, pula berharap pihak polis menyediakan lebih banyak keperluan keselamatan sewaktu bencana banjir melanda kawasan tempat tinggalnya.

“Sekiranya rumah dinaiki air bukan kami tidak mahu pindah ke pusat pemindahan banjir tetapi saya risau keselamatan rumah yang sering kali dicerobohi dan dirompak individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan.

“Sebelum ini pernah beberapa rumah di kampung ini yang dipecah masuk dan habis barang berharga yang dicuri sewaktu semua penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan,” katanya.

Dalam pada itu, dua pusat pemindahan banjir di daerah Kuching, iaitu Dewan Sinaran Kampung Sungai Lumut dan Surau Ar Rahman yang menempatkan seramai 59 orang daripada 14 keluarga, ditutup sepenuhnya pada 2 petang ini berikutan air semakin surut.

Namun, menurut orang kampung itu, bencana banjir yang berlaku ini hanya permulaan dan mereka menjangkakan banjir besar akan berlaku lagi pada awal bulan Februari nanti.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!