Lantik Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR: AMK Melaka

RAFIZI
RAFIZI
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli disyorkan dilantik sebagai Timbalan Presiden parti itu bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat pada Februari lalu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Jasin dan Melaka, Prasanth Kumar Brakasam berkata, cadangan tersebut merupakan suara penyokong dan anggota di peringkat akar umbi.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk parti mengangkat semula Rafizi yang disifatkan sebagai 'arkitek kemenangan' Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

"Cadangan ini wajar dipertimbangkan bagi memperkuatkan lagi organisasi parti di semua peringkat.

"Parti memerlukan pemimpin seperti Rafizi Ramli supaya dapat berganding bahu bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan agenda reformasi," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Katanya, pada Kongres AMK yang lalu, beliau turut mencadangkan Rafizi dilantik sebagai Menteri Kabinet berikutan sumbangannya kepada parti dan juga PH.

"Dalam keadaan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 boleh dipanggil secara mengejut bila-bila masa dari sekarang maka parti memerlukan arkitek ini bagi mengembalikan semula mandat rakyat kepada Pakatan Harapan," katanya.

Menurutnya, sudah tiba masanya 'wira tidak didendang' itu diletakkan di tempat yang sepatutnya sebagai menghargai jasa beliau.

Artikel Berkaitan:

"Pimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) boleh mempertimbangkan cadangan ini dalam mesyuarat MPP akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!