Chelsea tidak mahu tambah penyerang

FRANK LAMPARD
FRANK LAMPARD
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard memberi bayangan bahawa dia tidak akan menambah lagi kekuatan bahagian serangan The Blues selepas merekrut Timo Werner dan Hakim Ziyech ke Stamford Bridge biarpun tewas 3-2 kepada West Ham United di Stadium London pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Khamis lalu.

Menurut bekas pengendali Derby County berusia 42 tahun itu: "Pada masa ini saya tidak mahu memikirkan penambahan pemain bahagian depan sekiranya anda bertanyakan situasi kami selepas perlawanan menentang West Ham United tempoh hari.

"Saya tidak mahu membicarakan perkara-perkara itu kerana pada masa ini pemain Chelsea sedang berusaha sehabis baik bagi mengakhiri saingan musim ini dengan kegemilangan terutamanya lebih tajam gawang dalam baki lima atau enam perlawanan.

"Kami juga akan memberi fokus dengan pemain sedia ada dengan melakukan persediaan lebih rapi bagi memberi impak lebih positif menjelang pertemuan menentang Manchester United pada saingan Piala FA bulan ini," katanya.

Lampard selain berdepan dilema ketumpulan penyudah juga berdepan dengan masalah bahagian pertahanan yang paling banyak melepaskan gol dalam kalangan lapan kelab teratas EPL lain.

Mengenai situasi bahagian benteng The Blues, bekas pemain Chelsea itu berkata, dia tidak menolak untuk memberi tumpuan memperbaiki kelemahan ketara benteng kelab London berkenaan.

"Kami akan melihat situasi bahagian pertahanan cumanya saya tidak mahu memperkatakan lebih lanjut mengenai apa yang akan berlaku pada musim panas ini.

"Pada masa ini kami mempunyai barisan pemain bahagian berkenaan yang mantap, namun beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan bahagian itu lebih efektif. Kami akan duduk dan melihatnya pada musim panas."

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!