Pengundian berjalan lancar tanpa sebarang gangguan

Seorang pengundi orang asli memakai sarung tangan ketika mengundi pada PRK DUN Chini dalam suasana norma baharu di Sekolah Kebangsaan Kinchir, hari ini. - Foto Bernama
Seorang pengundi orang asli memakai sarung tangan ketika mengundi pada PRK DUN Chini dalam suasana norma baharu di Sekolah Kebangsaan Kinchir, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dengan tiada laporan polis diterima sejak pusat pengundian mula dibuka pada jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, anggota dan pegawai polis yang ditugaskan pada hari ini juga telah dipertingkat kepada lebih 700 petugas berbanding pada hari penamaan calon seramai 399 petugas.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian di 13 pusat mengundi yang mula dibuka pada jam 8 pagi tadi tiada sebarang bentuk kekacauan yang berlaku.

“Proses pengundian di semua pusat itu berjalan dengan lancar dan tenang mengikut kebiasaan baharu akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

PRK Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof ketika ditemui berkata, anggota polis trafik telah ditempatkan di lokasi-lokasi berhampiran semua pusat mengundi, tetapi tiada sekatan jalan raya dibuat ketika ini.

“Tetapi apabila pusat mengundi ditutup petang nanti, Jalan Kuantan-Segamat yang menghala ke pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, sekatan jalan raya akan dilakukan.

“Tujuannya ialah kita tidak mahu penyokong hadir ke pusat penjumlahan undi, kecuali bagi yang mempunyai pas (khas) yang dikeluarkan,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!