Peratusan mengundi lepasi sasaran walaupun SOP ketat

Dua petugas di pusat mengundi di Dewan Semai Bakti Felda Chini 3 membantu menyorong kerusi dua pengundi warga emas selepas selesai membuang undi semalam.Gambar kecil: Ismail Sabri
Dua petugas di pusat mengundi di Dewan Semai Bakti Felda Chini 3 membantu menyorong kerusi dua pengundi warga emas selepas selesai membuang undi semalam.Gambar kecil: Ismail Sabri
A
A
A

PEKAN - Meskipun wujud kebimbangan penularan koronavirus (Covid-19), ia bukan halangan buat pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menunaikan tanggungjawab sehingga menyaksikan jumlah peratusan keluar mengundi melepasi sasaran ditetapkan iaitu 70 peratus.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu berjaya dicapai walaupun pengundi yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pengundi dari luar terpaksa berdepan prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika proses pengundian berlangsung.

“Secara keseluruhan, pematuhan SOP berjalan seperti yang dirancang dan ada pegawai penguatkuasa beruniform yang membantu memantau perkara itu.

“Cuma yang nampak agar sukar untuk dipatuhi ialah soal penjarakan sosial tetapi SOP lain seperti pemeriksaan suhu badan dan pensanitasi tangan semasa memasuki pusat pengundian semua dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Setakat jam 4 petang, sebanyak 72 peratus daripada 20,816 pengundi biasa bagi DUN Chini menunaikan tanggungjawab mereka, mengatasi sasaran awal Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu 70 peratus.

Sementara itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan Malaysia masih tidak membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini kecuali diplomat, peserta Malaysia Rumah Keduaku, pelajar dan ekspatriat EP1 (pengurusan tertinggi syarikat yang mempunyai pelaburan di Malaysia).

“Walaupun kebelakangan ini kita mencatat satu angka untuk kes positif Covid-19, namun atas nasihat Kementerian Kesihatan, kita masih tidak boleh membuka pintu sempadan negara dan hal yang sama juga berlaku di negara lain kecuali England,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tajuk yang dikeluarkan sebuah portal berita kelmarin tentang Majlis Keselamatan Negara sedang berbincang untuk membenarkan kemasukan rakyat China adalah tidak tepat dan mengelirukan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!