Pilihan raya paling aman, berdisiplin

Pengundi mematuhi arahan penjarakan sosial ketika beratur di saluran mengundi masing-masing.
Pengundi mematuhi arahan penjarakan sosial ketika beratur di saluran mengundi masing-masing.
A
A
A

PEKAN - Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan provoksi sejak pusat pengundian mula dibuka pada 8 pagi sehingga ditutup 5.30 petang ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, beliau sendiri melawat semua 13 pusat mengundi DUN Chini dengan mendapat maklum balas positif daripada anggota dan pegawai polis di pusat berkenaan tanpa ada sebarang insiden tidak diingini.

"Saya dimaklumkan kesemua pengundi serta penyokong ketika-tiga calon berkenaan mengikut peraturan kebiasaan baharu akibat pandemik koronavirus (Covid-19) yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Dan berdasarkan pengalaman saya yang telah terlibat dalam banyak pilihan raya kecil dan umum, ini merupakan pilihan raya yang paling aman dan berdisiplin dengan tiada sebarang kes dilaporkan serta kejadian provokasi oleh mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, seramai 600 anggota dan pegawai polis ditempatkan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan untuk mengawal keadaan ketika pengumuman keputusan PRK itu dibuat malam ini.

Abd Jalil berkata, selepas keputusan diumumkan, seramai 250 anggota dan pegawai polis akan ditempatkan lagi di Chini bagi tempoh 24 jam untuk mengawal keadaan semasa.

PRK Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!