PIBG SESMA sedia sumbang pengimbas haba untuk sekolah
KUALA TERENGGANU - Alumni dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) sedia menyumbangkan mesin pengimbas haba jika ia menjadi keperluan di sekolah itu.
Presiden Alumni SESMA, Datuk Zubir Embong berkata, pihaknya bersedia membantu sekiranya pihak sekolah memerlukan alatan itu untuk memantau kesihatan pelajar dalam jumlah yang ramai.
“Inisiatif menggunakan alat pengimbas haba di sekolah dilihat sebagai satu langkah berkesan kerana ia dapat membantu membaca suhu badan pelajar dalam jumlah yang ramai memandangkan alat pengimbas suhu yang biasa digunakan itu mungkin agak lambat dan perlukan masa.
“Namun, kita harap alat pengimbas haba itu mengikuti piawaian yang ditetapkan KKM kerana kita tidak mahu menggunakan alatan yang tidak mencapai standard yang ditetapkan kepada pelajar. Kita bimbang ia tidak berkesan dan menimbulkan masalah,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya kos alatan yang dilihat agak tinggi, beliau berkata, soal harga tidak menjadi masalah kerana persatuan alumni dan PIBG sekolah itu sentiasa bergandingan dalam menyediakan yang terbaik kepada pelajar.
“Kita hanya menunggu permohonan daripada pihak sekolah. Sekiranya mereka ada menyenaraikan alatan ini dalam senarai keperluan pelajar, kita akan usahakan.
“Pihak alumni juga menyokong prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan di peringkat sekolah bagi keseluruhan aktiviti pelajar termasuk di asrama dalam memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!